Mejar (B) Zamri Abd. Rahman (duduk) bersama Datuk Abdul Ghani Salleh dan Ali Tinju di Ibupejabat SPR di Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA – Media Tentera Rakyat (MTR) berhasrat mahu menyertai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) sebagai usaha memanjangkan suara veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kepada kerajaan.

Presidennya, Mejar (B) Zamri Abd. Rahman berkata, pada permulaan, seramai 14 wakil MTR akan bertanding dan setiap mereka mewakili setiap negeri.

“Buat masa ini wakil kami akan bertanding sebagai calon bebas di di kawasan ramai bekas tentera yang akan menyokong kami,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani Salleh di pejabatnya hari ini.

Turut hadir ialah pengasas MTR, Mohd Ali Baharom atau lebih dikenali sebagai Ali Tinju.

Menurut Zamri, walaupun tidak sempat menubuhkan parti namun mereka berharap setiap calon MTR akan dibenarkan membawa logo persatuan atas kertas mengundi.

Mengenai sokongan, pihaknya percaya mereka akan dapat kepercayaan bekas tentera dan ahli keluarga mereka.

Selain itu, Zamri menegaskan, sekiranya wakil MTR menjadi wakil rakyat, pengundi tidak perlu bimbang kerana bekas tentera sedia memikul kepercayaan dan setia kepada tugas.

Sifat sedemikian, katanya, sudah sebati kepada veteran ATM sejak mereka berkhidmat dalam pasukan seragam lagi.

Sementara itu, menurut Ali Tinju, sudah sampai masanya MTR membawa suara veteran ATM ke Parlimen memandangkan usaha sebelum ini seakan-akan tidak dipedulikan kerajaan.- MalaysiaGazette