Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Bagi persiapan awal menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) kelak, parti Gerakan akan mengumumkan awal senarai calon-calon yang akan diketengahkan parti itu.

Presidennya, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai berkata, langkah itu wajar bagi mengelakkan kekalahan teruk yang berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor berulang lagi.

Jelasnya, pengundi-pengundi pada dua PRN lalu mengeluh mereka tidak mengenali calon-calon Gerakan disebabkan terlalu lewat mengumumkan calon.

“Gerakan telah buat keputusan akan umumkan calon dan kawasan yang akan kita tandingi pada PRU15 dalam tiga peringkat.

“Peringkat pertama pengerusi perhubungan negeri akan maklumkan jurucakap Gerakan bagi kawasan dan senang mereka turun padang buat kerja di kawasan masing-masing. Ini bagi pengundi-pengundi di kawasan tersebut kenal dengan calon-calon kita.

“Kedua, pengumuman turut akan dibuat pada Persidangan Negeri pada September depan, mereka ini akan mewakili Gerakan tapi keputusan terakhir adalah di bawah kepimpinan Perikatan Nasional,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat parti itu di ibu pejabatnya, hari ini.

Bagaimanapun, Dominic berkata, senarai calon tersebut tidak terus dimuktamadkan dan akan mengambil kira prestasi calon sebelum tarikh PRU15 diumumkan.

Tambahnya, calon-calon yang diumumkan itu harus diterima parti dan pengundi serta mengambil kira faktor kemenangan di kerusi yang ditandingi Gerakan.

“Mereka mesti diterima oleh pengundi-pengundi kawasan masing-masing. Kita akan buat kajian prestasi dan bolehkah mereka mewakili parti Gerakan atau PN dalam PRU15 akan datang.

“Kita nak calon itu boleh menang, oleh itu ini adalah langkah pertama dan akan umumkan calon kita dan tengok reaksi daripada pengundi,” katanya.

Untuk rekod, Gerakan bertanding sebanyak 11 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undanga Negeri (DUN) pada PRU14 lalu menerusi tiket Barisan Nasional.

Ditanya berapa jumlah kerusi yang akan ditandingi oleh Gerakan, Dominic berkata, pihaknya akan bertanding lebih daripada 11 kerusi.

“Kita harap dapat tanding lebih daripada 11 kerusi (semasa PRU14 dalam BN), sebab masa PRN Melaka kita tanding lima kerusi.

“Kita nak fokus kerusi yang berkualiti bukan kuantiti, lebih baik kita menang satu dua kerusi daripada bertanding semua kerusi tapi kalah semua,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Dominic berkata Gerakan tidak menyesal mengambil keputusan untuk meninggalkan Barisan Nasional (BN) pada 2018 lalu.

Kata beliau, keputusan yang dibuat bekas Presiden Gerakan ketika itu, Datuk Seri Mah Siew Keong dibuat secara konsensus.

“Keputusan Gerakan keluar daripada BN adalah keputusan AJK Pusat, dalam AJK Pusat telah bincang dan banyak perkata kita telah pertimbangkan dan kita buat keputusan keluar dari BN pada 2018.

“Keputusan sudah dibuat dan tidak kesal kerana ini bukan keputusan Presiden masa itu, Datuk Seri Mah Siew Keong tapi keputusan semua AJK Pusat Gerakan,” katanya lagi.

Gerakan bertindak keluar daripada BN dan mengumumkan menjadi parti bebas yang konstruktif.

Keputusan tersebut diambil oleh mesyuarat Jawatankuasa Pusat Gerakan (CGC) setelah mengambil kira senario politik pasca PRU14 serta sentimen akar umbi parti. – MalaysiaGazette