KUANTAN – Kerajaan Pahang memperuntukkan RM2.3 bilion untuk melaksanakan 237 projek bagi menangani isu air di negeri itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, daripada jumlah itu sebanyak 77 projek telah siap manakala 34 projek dalam pembinaan dan selebihnya masih dalam peringkat reka bentuk.
Katanya, Sekurang-kurangnya 90 peratus masalah bekalan air di negeri itu dapat diselesaikan dalam tempoh lima tahun dan ia memelukan peruntukan serta perancangan yang teliti.
“Projek-projek ini melibatkan penyelesaian masalah terputus bekalan dan tekanan rendah, penurunan rizab margin loji, jaringan bekalan air baharu, kekerapan paip pecah dan penurunan kecekapan peralatan.
“Projek-projek ini juga melibatkan pemasangan paip baharu pelbagai saiz sepanjang lebih 250 kilometer, bagi menyelesaikan kekerapan paip pecah dan terputus bekalan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Khairuddin Mahmud (BN-Pulau Manis) yang ingin tahu tindakan Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) dalam menangani masalah bekalan air.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, terdapat 35 projek yang menjadi keutamaan antaranya yang mana lima projek di Jerantut, Raub, Pekan dan Temerloh telah siap. – Malaysiagazette