KUALA LUMPUR – Lebih 50 pelanggan yang menggunakan perkhimatan platform e-dagang kereta bersepadu terbesar Asia Tenggara Carsome kini mengalami kelewatan untuk mendapatkan bayaran kenderaan yang dijual kepada syarikat berkenaan.

Kelewatan ini dikatakan berlaku di seluruh cawangan Carsome sejak seminggu lalu, menurut sumber syarikat itu.

Ekoran masalah ini ramai jurujual Carsome kini ‘dikejar’ oleh pemilik-pemilik kenderaan yang telah menyerahkan aset mereka itu untuk dijual.

Difahamkan, pelanggan yang telah menyerahkan kereta mereka kepada Carsome terpaksa menunggu lebih tiga hari untuk mendapatkan balik pembayaran berbanding satu hingga tiga jam sebelum ini.

Akibatnya, ada dalam kalangan pelanggan telah membuat laporan polis ke atas jurujual syarikat kereta yang mengendalikan penjualan kenderaan kepada Carsome.

Sumber yang bekerja dengan Carsome mendakwa, kejadian ini belum pernah berlaku sebelum ini tetapi tidak mengetahui punca kelewatan itu.

Ia kerana, sejak ia beroperasi Carsome tidak pernah culas dalam pembayaran kepada pemilik yang menjual kenderaan kepada syarikat ini.

Carsome merupakan sebuah syarikat pengedar terpakai di Asia Tenggara sejak 2015 yang lalu telah menguruskan jualan lebih dari 40,000 kereta setiap tahun.

MalaysiaGazette yang menghubungi Carsome dimaklumkan kelewatan itu memang berlaku disebabkan masalah sistem.

Lantaran itu, ia menyukarkan pihak bank untuk mengesan akaun bank pemilik kenderaan.

Namun, katanya, pembayaran dapat diselesaikan dalam tempoh 72 jam. – MalaysiaGazette