KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kepong (DAP), Lim Lip Eng hari ini menyokong kenyataan MIC yang membidas tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melantik seorang ahli politik yang diisytihar muflis oleh oleh Jabatan Insolvensi Malaysia.
Lip Eng memuji keberanian MIC mempertikaikan lantikan itu walaupun berada dalam sebahagian kerajaan hari ini.
“Saya perlu puji MIC kerana berani menyoal bagaimana seorang ahli politik yang telah diisytiharkan bankrap oleh kerajaan telah dilantik untuk memegang jawatan Ahli Lembaga Pelesenan (Eksais) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Pada masa sama, saya juga hendak bertanya kepada DBKL bagaimana individu yang telah diisytihar bankrap itu boleh ‘lulus’ dan menjadi Ahli Lembaga Perlesenan DBKL? Saya harap sangat DBKL akan dapat memberi penjelasan berhubung isu ini secepat mungkin.
“Kita juga hendak tanya DBKL andai ada lagi induvidu bankrap yang dilantik oleh mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi MIC Wilayah Persekutuan, Pala Kumaran mempersoalkan rasional pelantikan seorang pemimpin politik yang bankrap memegang jawatan itu.
Pala Kumaran juga mendakwa individu terbabit memegang jawatan dalam Bersekutu Bersatu.
Setakat ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur masih belum lagi membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung perkara itu namun difahamkan telah membuat laporan berhubung isu tersebut.
Semalam, Ketua Penerangan Sayap Bersekutu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), S Gobi Krishna dipecat selepas disahkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Malaysia sejak 7 Januari 2021.
Menurut Ketua Sayap Bersatu, Dr Chong Fat Full, pihaknya telah menyemak dengan Jabatan Insolvensi sebelum tindakan memecat Gobi berkuatkuasa serta merta.
Bagaimanapun Gobi mendakwa, Fat Full tidak mempunyai kuasa untuk memecatnya dan sedang berkira-kira untuk mengambil tindakan undang-undang dalam masa terdekat. -MalaysiaGazette
Gobi mahu saman selepas dipecat Ketua Penerangan Sayap Bersatu