KUALA LUMPUR – Satu poster kononnya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan Ketua UMNO Bahagian mendesak cawangan supaya membuat usul meminta Perdana Menteri membubarkan Parlimen adalah palsu.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, penyebaran poster berkenaan adalah satu usaha untuk memecah belahkan parti itu.
“Sebaran infografik ini saya tandakan palsu (fake). Sebab sememangnya palsu, fake. Entah siapalah yang sebar,” ciap Ahmad di Twitter.
UMNO hari ini mengadakan mesyuarat tergempar dengan ketua-ketua UMNO Bahagian di ibu pejabat parti itu di Menara Dato’ Onn.
Poster tersebut menyatakan arahan Ahmad Zahid membuat arahan berkenaan dalam perjumpaan pada hari ini.
Selain itu, poster tersebut turut menyatakan sekiranya Ismail Sabri tidak mengendahkan usul yang diberikan, beliau akan dipecat daripada UMNO. – MalaysiaGazette