Ahmad Said
Datuk Seri Ahmad Said dikerumuni petugas media selepas menghadiri Mesyuarat Biro Politik UMNO di Menara Dato' Onn, Kuala Lumpur, malam tadi.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Said menafikan berlaku adegan ‘menghentam’ Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam mesyuarat Biro Politik parti, malam tadi.

“Tak ada, mana ada hentam PM. PM ada sama kan,” katanya ketika ditanya pemberita sebaik sahaja beliau keluar Menara Dato’ Onn di sini selepas menghadiri mesyuarat tersebut.

Desas-desus tentang perkara itu timbul ekoran kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi semalam yang menegaskan bahawa UMNO tidak memerlukan poster boy pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Untuk rekod, MKT UMNO telah bersetuju untuk menjadikan Ismail Sabri sebagai poster boy BN semasa kempen PRU-15 kelak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu itu menambah, mesyuarat tersebut tidak membincangkan tentang Datuk Seri Najib Razak yang kini menjalani hukuman penjara setelah Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan, hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas bekas Perdana Menteri itu dalam kes SRC International Sdn. Bhd. kelmarin.

Sebaliknya, beliau berkata, mereka hanya membincangkan tentang persiapan PRU-15.

Sementara itu, dua lagi Ahli MKT UMNO iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Isham Jalil enggan mengulas apabila ditanya tentang mesyuarat berkenaan.

Isham meminta pihak media menunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan oleh parti.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan turut dihadiri Ismail Sabri itu berlangsung selama lebih dua jam, bermula kira-kira pukul 9 malam. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. laaa Poster boy UMNO /BN kan ke Tok Mad Hasan…dgn KJ.
    Bila masa pula current PM jadi posterboy?
    Suka2 hari jer petik nama orang.

    Bila masa dorang2 ni dapat Datuk Seri padahal takde jasa utk negara?

Comments are closed.