Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap kepada media selepas Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo 2020 Dubai di Hotel Majestic, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 14 SEPTEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Tiada campur tangan politik dalam mana-mana organisasi media di negara ini, kata  Perdana Menteri.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob juga menegaskan komitmen kerajaan untuk memperjuangkan kebebasan akhbar dan media di Malaysia.

“Campur tangan politik? Media mempunyai kebebasan sepenuhnya kepada media asalkan laporan tepat dan bertanggungjawab.

“Selagi laporan itu, sahih bukan fitnah, bertanggungjawab. Itu tak ada masalah dengan kerajaan, dari segi undang-undang pun tak langgar peraturan,” katanya kepada media menjawab dakwaan berlaku campur tangan politik dalam akhbar New Straits Time (NST) baru-baru ini.

Sebelum ini terdapat dakwaan segelintir pihak berhubung pelantikan Farrah Naz Karim sebagai pengarang kumpulan akhbar bahasa Inggeris tertua negara itu dibuat atas campur tangan politik.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan yang beliau tidak akan mengulas mengenai sesuatu isu yang belum diperoleh secara tepat termasuk dakwaan campur tangan politik dalam NST.

“Saya masih belum membaca berita mengenai perkara itu, saya hanya akan mengulas apabila saya mendapat maklumat penuh mengenai isu tersebut.

“Tidak adil untuk saya mengulas mengenai perkara yang saya tidak mempunyai maklumat penuh,” katanya lagi.

Awal hari ini, Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia dan Gerakan Media Merdeka membangkitkan kebimbangan mengenai laporan berita NST telah menggantikan editor kumpulan syarikat itu ekoran campur tangan sebuah parti politik. – MalaysiaGazette