Foto Instagram Hasif Upin.

KUALA LUMPUR – TikToker terkenal yang kini bergelar penyanyi,  Hasif Upin menimbul rasa kurang senang dalam kalangan netizen apabila aksi cium mulut dalam video muzik lagunya, Dilema seolah-olah sengaja mahu meraih gimik murahan.

Namun dia yang lebih dikenali sebagai Abang Upin Ipin di TikTok tidak kisah dengan apa sahaja andaian netizen terhadapnya.

“Ramai yang bising apabila saya cium mulut dengan seorang wanita dalam video muzik itu. Nak tahu ianya real atau tak, kenalah tonton ya.

“Kalau ada yang kata saya sengaja nak cetuskan gimik, apa yang boleh saya cakap itulah konsep yang ditampilkan dalam video muzik itu,” katanya yang memiliki 2.6 juta pengikut di akaun TikTok miliknya.

Jejaka berusia 29 tahun itu sebelum ini muncul dengan single sulung yang berjudul Janji Sampai Mati ciptaan Aizat Amdan dan Anas Amdan.

Hasif memberitahu, dalam video muzik itu, dia bawa watak sebagai Joker yang sinonim dengan watak yang nakal.

Jadi jelasnya, untuk menghidupkan watak itu, salah satu babak memerlukan beliau melakonkan babak cium mulut model dalam video klip Dilema.

“Konsep itu dipersetujui bersama antara saya dengan syarikat rakaman, Armani Entertainment. Jadi, sebagai penyanyi, itu adalah sebahagian tugas yang perlu saya laksanakan.

“Saya bersedia menerima kecaman kerana saya tak boleh halang apa orang fikir pasal lagu atau video muzik saya itu.

“Tak dinafikan ada yang cakap baru mula jadi penyanyi, tetapi lebih kepada gimik. Itu terpulanglah. Saya sedar ada yang boleh terima dan ada yang tidak,” katanya yang berharap peminat sudi menonton video muzik Dilema yang turut dibintangi Datuk Seri Vida sebagai model jemputan.

Dilema mengisahkan seorang lelaki yang berada dalam dilema dengan hubungan cintanya.

Sementara itu, Hasif juga bersyukur apabila dipilih sebagai duta minuman M-150

“Saya tahu ada ramai lagi selebriti yang lebih popular atau lebih layak, tetapi saya percaya ini semua soal rezeki. Alhamdulillah kerana saya pun tidak sangka.

“Sebagai TikToker, saya agak sibuk dengan banyak program di seluruh Malaysia.

“Kadang-kadang saya tak cukup tidur atau rehat. Jadi minuman M-150 ini memang memberikan tenaga kepada saya dan boleh dikatakan ia banyak membantu menambah tenaga dalam aktiviti seharian saya.

“Dalam masa yang sama, saya melihat satu penghormatan dan perkembangan positif buat selebriti media sosial apabila diberi peluang menjadi duta,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast