Motosikal yang diubah suai dipercayai untuk kegiatan lumba haram disita polis dalam serbuan di dua bengke di Tanjung Bungah, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Berselindung disebalik rumah keluarga dan premis tanpa lesen bagi mengubah suai motosikal untuk kegunaan mat rempit serta lumba haram.

Itu kegiatan dua pemilik bengkel motosikal yang dikesan pihak berkuasa menerusi Ops Bersepadu Bengkel Motosikal di Tanjung Bungah, di sini, hari ini.

Tayar sotong antara diperiksa dalam bengkel tersebut.

Operasi membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) serta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bermula jam 4 petang itu turut membawa kepada penemuan mesin ‘dyno’ yang digunakan bagi menguji tahap kelajuan motosikal selain tayar sotong yang menjadi kegilaan dalam kalangan mat rempit.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, hasil pemeriksaan mendapati pemilik bengkel dipercayai terlibat dalam aktiviti mengubah suai motosikal bagi tujuan lumba haram.

Soffian.

Jelas beliau, pemeriksaan juga mendapati terdapat motosikal yang telah diubah suai sekali gus tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan.

“Pemeriksaan di bengkel pertama membawa kepada penemuan mesin Dyno yang digunakan untuk menguji keupayaan sesebuah motosikal selain beberapa alat ganti yang dipercayai bagi mengubah suai kelajuan motosikal.

“Bagi bengkel kedua pula, kita dapati banyak motosikal lama dan baru ditempatkan di kawasan perumahan dan pemilik bengkel memberi alasan lambakan itu berlaku susulan tidak dituntut pemilik masing-masing.

Mesin Dyno yang digunakan untuk menguji keupayaan motosikal turut ditemui dalam milikan sebuah pemilik bengkel tanpa lesen di sini.

“Selain itu, tiga motosikal diubah suai bagi tujuan lumba turut disita bagi mengesan pemilik serta tujuan pengubahsuaian,” katanya kepada pemberita di lokasi hari ini.

Dua bengkel berkenaan adalah antara 21 bengkel di daerah Timur Laut, Barat Daya dan Seberang Perai Selatan yang diperiksa menerusi operasi bersepadu yang dijalankan pada hari ini.

Mengulas lanjut Soffian berkata, operasi berkenaan dilakukan bagi mengekang aktiviti rempit, lumba haram dan samseng jalanan di Pulau Pinang.

“Kita turut menjalankan ujian saringan air kencing terhadap pemilik dan pekerja di kedua-dua bengkel berkenaan bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan pengambilan dadah.

Rumah keluarga dijadikan bengkel antara dikesan dalam operasi tersebut.

“Pemeriksaan ini dilakukan dalam semua sudut, misalnya KPDNHEP melihat daripada ketulenan aksesori yang digunakan,” kata beliau. – MalaysiaGazette