Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bersama timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan (kanan) pada Perjumpaan Khas Ketua UMNO Bahagian dan Ketua Tiga Sayap UMNO bersama Presiden UMNO serta Perdana Menteri di Pusat Dagangan Dunia (WTCKL), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – UMNO bertegas Pas perlu memutuskan hubungan dengan Bersatu jika ingin bekerjasama dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi  telah menyampaikan perkara itu sendiri kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam pertemuan mereka baru-baru ini.

Menurutnya, Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah mengabsahkan keputusan tersebut dan Pas perlu memenuhi syarat-syarat yang telah ditentukan.

Tambah Ahmad Zahid, jika Pas bersetuju untuk mengadakan kerjasama parti itu bebas untuk menggunakan logo sendiri.

“Tanpa memenuhi syarat-syarat itu maka kami akan bergerak secara solo. Bukan kami over confident tetapi kami yakin bahawa tanpa mereka tentunya kita mesti bergerak mengikut kaedah perperangan bagi menghadapi pilihan raya secara kaedah tersendiri.

“Tetapi jika mereka mahu bersama-sama dengan UMNO dan BN mereka bebas untuk menggunakan lambang parti mereka tetapi kita boleh bertoleransi untuk menjalin kebersamaan jentera bagi menghadapi PRU,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyampaikan amanat dalam Perjumpaan Khas Presiden UMNO dan Perdana Menteri bersama-sama kepimpinan empat peringkat UMNO di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu akan memuktamadkan hubungan dengan UMNO menjelang akhir minggu ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid memaklumkan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan memberikan sokongan kepada calon-calon BN di negeri itu.

“Di Sabah, saya telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan GRS dan mereka telah memberikan perakuran bahawa GRS akan menyokong semua calon-calon BN.

“Kami amat menghargainya dan semoga perkara ini akan dapat direalisasi dalam makna yang sebenar apabila tiba masanya,” katanya.

Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Pengerusi Bersatu Sabah pada 25 September lalu berkata, GRS akan memberi sokongan penuh kepada calon BN dalam PRU-15.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, Dewan Tertinggi UMNO akan bermesyuarat bagi membincangkan penyertaan parti-parti rakan BN.

“Beberapa permohonan parti-parti yang mahu menyertai BN, Dewan Tertinggi akan memutuskannya dan kami yakin dengan empat parti teras, lapan parti gabungan Friends of BN dan tujuh parti baharu yang mahu menyertai sebagai Friends of BN. Perkara ini akan bawa ke mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” katanya.-MalaysiaGazette