KUALA LUMPUR – Petisyen dalam talian yang dilancarkan oleh Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli bagi membantah Pilihan Raya Umum ke-15 diadakan secepat mungkin tidak mendapat sambutan.
Selepas dilancarkan sejak seminggu lalu hanya 23,000 orang menandatangani petisyen berkenaan sehingga hari ini.
Ketika melancarkan petisyen tersebut, Rafizi menyeru orang ramai menandatanganinya dan dan menyebarkan ke media sosial masing-masing.
Rafizi berkata, jika Parlimen dibubarkan sebulan dari sekarang, pilihan raya akan diadakan pada musim tengkujuh.
“PRU15 semasa banjir bermakna lebih RM1 billion akan digunakan untuk menguruskan pilihan raya sedangkan dana rakyat itu lebih baik disalurkan kepada usaha menangani bencana.
“Ia juga bermakna beratus ribu penjawat awam perlu bertugas untuk mengendalikan pilihan raya sedangkan mereka wajar bersama-sama sukarelawan membantu mangsa banjir.
“Hanya suara rakyat yang dapat menghantar isyarat yang jelas bahawa rakyat mahu ahli politik menumpukan perhatian menghadapi bencana banjir, bukannya mengejar jawatan-jawatan politik melalui pilihan raya,” katanya.
Bekas ahli parlimen Pandan itu turut menyorot bahawa semua laporan ramalan cuaca meramalkan banjir akan menjadi lebih teruk tahun ini berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Spekulasi bertiup kencang bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bagi membubarkan Parlimen minggu ini.
Presiden UMNO Datuk Seri dr. Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media pada Selasa lalu telah mengarahkan Pengerusi UMNO setiap negeri mula mengemukakan nama calon untuk bertanding pada PRU-15 minggu depan.
Perkara tersebut antara amanat disampaikan dalam perjumpaan bersama pimpinan UMNO bahagian yang berlangsung kira-kira sejam iaitu perjumpaan terakhir sebelum PRU-15 diadakan.
Berdasarkan Daftar Pemilih Tambahan Mei 2022 pada 16 Jun lalu, jumlah pengundi berdaftar adalah seramai 21,113,234 orang.
Daripada jumlah itu, seramai 1,141,749 orang iaitu 5.4 peratus adalah pemilih berumur 18 tahun hingga 20 tahun, manakala baki 19,971,485 orang atau 94.6 peratus ialah pemilih berumur 21 tahun dan ke atas.-MalaysiaGazette