Pas DAP PASrelief
Abdul Hadi Awang

KUALA LUMPUR – Pas masih belum berputus asa untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15)

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang diadakan hari ini membuat ketetapan bahawa parti itu akan tetap meneruskan usaha penyatuan ummah yang melibatkan komitmen UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurut Presiden Pas ,Tan Sri Abdul Hadi Awang, parti itu memerlukan keanjalan dalam rudingan dengan kedua-dua parti termasuk dalam pembahagian kerusi pada PRU-15.

“Pas tetap akan meneruskan usaha penyatuan ummah melibatkan komitmen ketiga-tiga parti teras Melayu bagi menghadapi PRU15, seterusnya menjamin kestabilan politik negara pasca-PRU15.

“Pas berpandangan perlu ada ‘keanjalan’ dalam rundingan dengan pihak UMNO dan Bersatu, termasuklah berkenaan syarat-syarat yang dikemukakan dan rundingan kerusi yang sedang diusahakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu Abdul Hadi berkata, kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti itu tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sekiranya Parlimen dibubarkan dalam tempoh terdekat.

DUN bagi Kelantan, Terengganu dan Kedah hanya akan dibubarkan selepas musim tengkujuh berakhir iaitu pada Mac 2023.

“Pas yang menerajui kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan membangkitkan tentang pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam tempoh terdekat.

“Bagi menumpukan kepada persiapan menghadapi musim tengkujuh yang dijangka pada pertengahan November sehingga Mac 2023, di samping usaha dan langkah pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” kata Abdul Hadi.

Sebelum ini Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu menghargai pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menzahirkan keterbukaan kedua-dua parti itu dalam usaha memulihkan agenda penyatuan ummah.

Ini selepas Ahmad Zahid bertemu dengan Abdul Hadi pada 17 September lalu.

Sementara Ahmad Zahid pula dilaporkan berkata, UMNO menetapkan tiga syarat utama yang perlu dipenuhi Pas sebelum sebarang perundingan baharu untuk meneruskan kerjasama dengan parti itu menjelang PRU-15.

Tiga syarat tersebut adalah Pas perlu keluar daripada gabungan Perikatan Nasional (PN) serta memutuskan hubungan politik dengan Bersatu.

Beliau berkata, Pas juga perlu mengisytiharkan secara rasmi bahawa parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan Bersatu.-MalaysiaGazette