Mohd Shafie Apdal (tengah) menjawab soalan wartawan pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan di Kota Kinabalu, Sabah.

KOTA KINABALU – Parti Warisan Sabah (Warisan) mengesahkan ia akan bertanding di semua 25 kerusi termasuk kerusi Parlimen Labuan dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan akan mengemukakan gabungan calon muka baru dan lama pada pilihan raya itu.

“Saya akan umumkan nanti kerana sebahagian besarnya ada di antara muka baharu dan orang muda kerana merupakan pendekatan kita bagi memastikan ada gabungan.

“Tujuan kita mahu bertanding (di semua kerusi Parlimen Sabah) kerana kita mahu menetapkan semula keadaan, pentadbiran dan cara pengurusan peringkat negeri Sabah,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Warisan, di sini, hari ini.

Sementara itu, Shafie memberitahu, Warisan juga akan meletakkan calon di beberapa kerusi Parlimen di Semenanjung.

“Kita ada kenal pasti beberapa kerusi yang kita akan tandingi iaitu di Perlis, Kedah, Perak, Selangor, Johor, Pulau Pinang dan mungkin di Kelantan satu (kerusi Parlimen) sahaja.

“Kita mempunyai calon pemegang ijazah doktor falsafah (PhD), profesor, doktor yang kita akan tawarkan untuk bertanding dan mereka sangat profesional,” ujarnya.

Warisan memenangi lapan kerusi Parlimen antaranya Semporna, Sepanggar, Kota Belud, Penampang, Papar, Kalabakan, Penampang dan Labuan pada PRU14. – MalaysiaGazette