MOSCOW – Sebuah pesawat tentera Rusia terhempas di kawasan perumahan di bandar Yeysk mengorbankan sekurang-kurangnya empat individu dan mencederakan sehingga 25 orang yang lain.
Kejadian itu turut menyebabkan dua blok apartmen terbakar.
Para pelajar di sebuah sekolah yang terletak berhampiran telah dipindahkan, menurut laporan media tempatan.
Kementerian Pertahanan Rusia berkata, pesawat pengebom Su-34 itu sedang dalam penerbangan latihan apabila salah satu enjinnya terbakar pada petang Isnin.
Juruterbang dalam pesawat itu berjaya menyelamatkan diri sebelum nahas.
Satu rakaman di media sosial menunjukkan penduduk tempatan cuba membantu salah seorang juruterbang terbaring di atas tanah berhampiran dengan payung terjun di belakangnya.
“Ketika Su-34 terhempas di halaman blok kediaman menyebabkan kotak bahan api pesawat terbakar,” kata kenyataan Kementerian Pertahanan.
Media tempatan melaporkan, letupan yang berlaku pada pesawat itu telah menyambar lima bangunan bertingkat itu.
Namun, difahamkan hanya dua blok yang terbakar.
Rakaman yang dikongsi di media sosial menunjukkan api marak dari blok apartmen berkenaan.
Jawatankuasa Siasatan Rusia telah membuka kes jenayah dan menghantar penyiasat ke lokasi nahas, tanpa memberikan sebarang sebab.
Yeysk terletak bertentangan dengan wilayah yang diduduki Rusia di selatan Ukraine, dipisahkan oleh Laut Azov.
Bandar ini telah digunakan sebagai tempat latihan utama untuk penerbangan tentera laut Rusia. – Agensi