Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Hizwan Ahmad bercakap kepada media mengenai penggantungan jawatannya bersama Ketua Penerangan, Zakaria Abdul Hamid oleh Datuk Larry Sng Wei Shien ketika di Bilik Gerakan Utama PBM Dun Bukit Antarabangsa, Ampang. Foto MOHD ADZLAN, 28 OKTOBER 2022.

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Parti Bangsa Malaysia (PBM), Nor Hizwan Ahmad menyifatkan penggantungan jawatannya bersama Ketua Penerangan PBM, Zakaria Abdul Hamid oleh Datuk Larry Sng Wei Shien sebagai mainan politik murahan bekas presiden parti itu.

Beliau berkata, alasan penggantungannya berkuatkuasa serta merta kelmarin tidak sah kerana Larry bukan lagi Presiden PBM.

Ini kerana Mesyuarat Majlis Tertinggi PBM pada 7 Oktober lalu sepakat memilih Datuk Zuraida Kamaruddin sebagai presiden baharu mengikut perlembagaan parti.

“Larry Sng telah mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan mengenai keabsahan jawatan Presiden PBM yang kini secara rasmi disandang oleh Zuraida.

“Dalam mesyuarat penubuhan parti pada 2021 di Kuala Lumpur, secara jelas bekas Ahli Parlimen Julau itu menyatakan akan melepaskan jawatan presiden dan menyerahkannya kepada Zuraida.

“Perkara ini diulang lagi oleh Larry Sng sendiri dalam beberapa siri Mesyuarat Biro Politik PBM yang berlangsung dari 2021 hingga 2022 yang dinyatakannya secara terbuka dan didengari setiap ahli biro politik parti,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.

Sebelum itu Larry menerusi Facebooknya semalam mendakwa dua biro politik PBM iaitu Nor Hizwan dan Zakaria digantung jawatan berkuatkuasa serta merta bermula kelmarin.

Larry yang mengakui masih memegang jawatan presiden secara sah menyatakan tindakan itu diambil berikutan Nor Hizwan Ahmad dan Zakaria dikatakan memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 Oktober lalu tanpa arahan dan pengetahuannya.

Dalam pada itu, menurut Nor Hizwan, Larry sebenarnya telah dimaklumkan secara bertulis menerusi aplikasi Whatsapp  berhubung panggilan mesyuarat pada 7 Oktober lalu dan mendapat maklum balas supaya mesyuarat itu diteruskan.

Beliau turut menunjukkan salinan komunikasi dengan Larry Sng menerusi Whatsapp yang mana semua komunikasi itu mendapat izin bekas presiden termasuk pelantikan Zuraida sebagai presiden.

“Sebab itu saya hairan, macam mana Larry Sng boleh membuat kenyataan dalam Facebooknya yang jauh berbeza daripada apa yang dibincangkannya dengan saya.

“Agaknya beliau mahu dapatkan publisiti murahan dengan mendakwa kononnya tidak tahu dan tidak dimaklumkan Mesyuarat Majlis Tertinggi yang diadakan pada 7 Oktober itu.

“Mesyuarat itu dibuat mengikut perlembagaan parti dan dihadiri majoriti Ahli Majlis Tertinggi PBM kecuali Larry Sng, dan semua Majlis Tertinggi bersetuju dengan pelantikan Zuraida yang digelar Ibu Bangsa Malaysia (IBM) sebagai presiden,” katanya.

Beliau menyatakan, laporan mesyuarat itu telah dihantarkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) beberapa hari selepas mesyuarat berkenaan dan kini menunggu tindakan lanjut daripada jabatan berkenaan.

Katanya, sehingga kini pihak pentadbiran parti tidak tahu apa tujuan Larry mengeluarkan kenyataan sedemikian dalam akaun Facebooknya yang dianggap sebagai tidak bertanggungjawab.

“Kami berharap beliau dapat menghadiri Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBM yang dijadualkan pada 3 November ini bagi menyelesaikan sebarang kekeliruannya mengenai apa juga isu yang melibatkan pentadbiran parti,” katanya. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Hanya saya yang akan tanda tangan watikah calon PBM – Larry Sng