Ketua Jurulatih Kebangsaan, Kim Pan Gon. Foto MOHD ADZLAN, 17 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon menjelaskan faktor beliau memilih Kemboja dan Maldives sebagai lawan yang akan dihadapi dalam siri perlawanan pemanas badan bertaraf Tier 1 menjelang Piala AFF Mitsubishi Electric 2022.

Pengendali kelahiran Korea Selatan berkata, selepas berbincang dengan beberapa pasukan lain serta melakukan penilaian secara dalaman daripada pelbagai aspek, akhirnya keputusan dibuat untuk menerima pelawaan daripada pasukan kebangsaan Kemboja dan Maldives untuk dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 itu.

“Biarpun kedua-dua pasukan ini berada di kedudukan lebih rendah berbanding skuad Harimau Malaya, pemilihan ini adalah berpandukan susunan perjalanan pasukan di sepanjang kempen Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 nanti.

“Kemboja merupakan salah satu pasukan dari Kumpulan A yang mana pemilihan pasukan ini sebagai lawan pada perlawanan pemanas badan dilihat bersesuaian dalam usaha kita untuk mengenal pasti perkara-perkara yang perlu diperbaiki selepas pasukan kembali berkumpul untuk kem latihan pusat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkannya di Facebook rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Malaysia akan bertemu Kemboja pada 9 Disember di Stadium Nasional Bukit Jalil dan Maldives menanti selang lima hari pada aksi yang bakal berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.

Ramai berpendapat ia bukanlah pilihan tepat kerana kedua-dua pasukan tersebut berada pada ranking yang lebih rendah berbanding Malaysia.

Kemboja pada ketika ini menghuni tangga ke-177 manakala Maldives pada kedudukan ke-154.

Mengulas lanjut, Pan-Gon berkata, skuad kendaliannya telah menentang Thailand dan Filipina tahun ini dan beliau percaya Kemboja akan menjadi pilihan lawan yang baik untuk persiapan kali ini.

“Bagi pertemuan dengan Maldives, lawan yang biarpun bukan dari Asia Tenggara tetapi merupakan juara dua kali Piala Persekutuan Bola Sepak Asia Selatan (SAFF) pada 2008 dan 2018, selain memiliki corak permainan yang hampir sama dengan pasukan-pasukan Asia Tenggara yang lain.

“Selain itu, Maldives memenangi kedua-dua perlawanan mereka ketika FIFA Days pada September dan merupakan salah satu pasukan terbaru yang telah menentang Laos, pasukan yang akan kita hadapi pada kejohanan nanti.

“Sudah pasti kedua-dua perlawanan pemanas badan ini dilihat bersesuaian dengan persiapan skuad Harimau Malaya terutama menjelang dua perlawanan awal Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 bertemu Myanmar dan Laos, sebelum menentang Vietnam dan Singapura,” tambahnya. – MalaysiaGazette