Calon PKR P.100 Pandan, Rafizi Ramli (kanan) bersalaman bersama Calon Warisan P.100 Pandan Tan Sri Ong Tee Keat ketika sesi walkabout sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pasar Pagi Taman Muda, Ampang. Foto MUHD NA’IM, 06 NOVEMBER 2022.

PANDAN – Pakatan Harapan (PH) menerima keputusan bahawa ia kehilangan peluang untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan di Bera.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, isu ini akan diuruskan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya PH ingin mengemukakan petisyen.

“Setakat ini satu sahaja kerusi (DUN Kemayan), kami tengah dapatkan maklumat dan ada maklumat teknikal di mana calon dan pasukan peguam akan semak dengan JPN (Jabatan Pendaftaran Negara) kerana isu alamat calon adalah di Pahang tetapi rekod itu berlainan daripada yang adalah sistem JPN.

“Kami terima keputusan SPR itu dan calon itu Manolan adalah calon Orang Asli di situ dan ada rekod berkhidmat membantu kempen,” katanya kepada MalaysiaGazette dalam siri kempen di Pasar Pagi Taman Muda disini hari ini.

Rafizi berkata demikian bagi mengulas kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa enam borang penamaan calon ditolak semalam.

Daripada enam kertas pencalonan itu, empat adalah untuk bertanding kerusi Parlimen dan baki dua dua kertas pencalon untuk bertanding kerusi kerusi DUN.

Salah satu daripadanya adalah borang pencalonan PH di DUN Kemayan.

Borang penamaan Manolan Mohamad ditolak Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif kerana alamat kad pengenalan beliau adalah di Shah Alam.

Pada PRU14, calon Barisan Nasional, Mohd Fadil Osman memenangi kerusi DUN Kemayan dengan majoriti majoriti 4,618 undi.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, PH tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap Manolan dan hanya akan fokus kepada kempen PRU15.

“Tidak ada (tindakan), tumpuan kita kepada kempen PRU dan segala isu pentadbiran kita bekukan untuk tempoh dua minggu dan sudah tentu kita akan dapat maklumat dan laporan penuh ada kita ambil daripada situ dan tengok balik SOP,” katanya.

Rafizi berkata, proses penamaan calon yang berlangsung semalam adalah proses yang sangat lancar bagi PH.

Ini kerana pelbagai episod dihadapi gabungan itu padas PRU14 apabila beberapa calonnya tidak dapat bertanding kerana masalah borang, ujarnya.

“Rekod untuk PKR, ini adalah PRU terbaik dari segi pendaftaran kerana ada satu kes sahaja dan tidak ada kes lain.

“Sebab sebelum ini pada hari penamaan pada PRU14 lalu, banyak kecoh sebab ada yang tidak boleh masuk pusat penamaan dan borang ditolak. Ini paling aman.

“Kita akan semak dengan JPN dan dimaklumkan sudah berhubung dengan JPN dan kita perlu dapatkan maklumat daripada JPN kalau ada sebarang tindakan lanjut,” ujarnya.

Terdahulu, Rafizi bertembung dengan calon Parti Warisan Sabah (Warisan), Tan Sri Ong Tee Keat yang turut melawat pasar sama pada hari kedua berkempen.

Kedua-dua calon itu bersalaman dan sempat berbual selama lima minit sebelum beredar. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast