PBM wanita Larry
Zuraida Kamaruddin

KUALA LUMPUR – Penyandang kerusi Parlimen Ampang, Datuk Seri Zuraida Kamaruddin yakin rekod prestasinya dalam berkhidmat kepada pengundi di kawasan tersebut akan memberikan kelebihan kepadanya berbanding calon lain.

Walaupun beliau berdepan dengan lapan calon lain untuk kerusi tersebut, Zuraida, yang lebih dikenali sebagai “Ibu Bangsa Malaysia” percaya bahawa pengorbanan serta dedikasi selama 15 tahun di Ampang akan memihak kepadanya pada November 19 nanti.

“Saya tahu ini adalah pertarungan yang sukar. Malah, ia pertarungan yang paling mencabar buat saya. Pertama, saya akan berdepan dengan lapan pencabar lain, termasuk tiga calon bebas.

“Kedua, saya bertanding di bawah parti baharu, parti yang baru ditubuhkan,” katanya ketika melawat pengundi.

Bagaimanapun, beliau berkata, pengundi hari ini telah menjadi lebih matang dan berpengetahuan luas tentang isu-isu semasa berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.

“Walaupun saya pernah berada di Ampang dan memahami isu-isu di sana, saya tidak akan ambil jalan mudah. Saya tetap akan mengambil masa untuk meninjau dan mengenal pasti semua isu yang memberi kesan kepada penduduk di sini.

“Ini termasuk isu-isu tempatan seperti pengangkutan awam, infrastruktur, banjir dan kebajikan. Selain itu saya juga akan menumpukan usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Ampang yang merangkumi aspek pekerjaan, peluang perniagaan, pendidikan dan juga pembangunan kemahiran,” katanya.

“President Designate” Parti Bangsa Malaysia (PBM) itu berkata, beliau telah mendapatkan banyak maklumbalas dari pengundinya selama ini dan telah pun membentuk ikatan akrab dengan mereka.

“Kami seperti sebuah keluarga di sini dan sebab itu, saya yakin walaupun bertanding di bawah logo PBM, ia tidak akan memberi kesan negatif kepada saya,” katanya.

Mengenai jentera pilihan raya di Ampang, beliau berkata, terdapat hampir 5,000 orang sukarelawan di lapangan sedang giat mendekati seramai mungkin pengundi.

Beliau juga gembira kerana berdepan lima calon wanita dan muda pada PRU15.

“Mereka mungkin pencabar saya, saya gembira kerana lebih ramai wanita tampil ke hadapan di PRU ini. Saya hanya berharap dan berdoa agar semua calon, bukan sahaja di Ampang, bersaing secara mesra, bersih dan adil.

”Walaupun saya mungkin daripada generasi lama di sini, saya percaya rekod prestasi saya akan membantu saya,” katanya.

Pencabar Zuraida bagi kerusi Ampang ialah calon Barisan Nasional (MCA) Ivone Low Yi Wen, Perikatan Nasional (Bersatu) Sasha Lyna Abdul Latif, Bryan Lai Wai Chong dari Parti Warisan, Nurul Ashikin Mabahwi (Pejuang) sebagai calon Gerakan Tanah Air (GTA), dan calon Pakatan Harapan, Rodziah Ismail dari PKR.

Tiga calon bebas itu ialah usahawan M. Raveendran, 38, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, 33, dan Tan Hua Meng, 65, yang sebelum ini bertanding di bawah Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada PRU14.  – MalaysiaGazette