MELAKA – Padah menyebarkan gambar lucah rakan wanitanya, seorang peniaga pasar malam didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Md. Azrin A. Hamid, 44, selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan perbuatan itu lima tahun lalu.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didapati secara sedar telah membuat penghantaran komunikasi yang lucah sifatnya iaitu gambar dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Kesalahan dilakukan antara pukul 8.27 malam dan 8.59 malam 25 Julai 2017.
Kandungan itu kemudian telah dilihat oleh pengadu pada pada pukul 8.30 malam 25 Julai dan 1.38 petang 26 Julai 2017 di sebuah rumah di Serkam Darat, Jasin.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama.
Sabit kesalahan tertuduh boleh didenda sehingga RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.
Mengikut fakta kes, pengadu membuat laporan selepas kecewa dan malu kerana gambar-gambar lucahnya telah tersebar dalam satu kumpulan WhatsApp.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan hanya bekerja sebagai peniaga di pasar malam, selain menanggung isteri serta kakak ipar yang merupakan orang kurang upaya.
Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) Nur Nazhzilah Mohammad Hashim bagaimanapun memohon hukuman berbentuk pencegahan kerana perbuatan tertuduh serius dan mengaibkan mangsa serta keluarga.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan atau penjara tiga bulan jika gagal dibayar. – MalaysiaGazette.