Ketua jurulatih Malaysia, Kim Pan-Gon. Foto MOHD ADZLAN, 08 JUN 2022.

PETALING JAYA – Ketiadaan pemain utama ternyata tugas sukar buat ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon namun beliau tidak mengalah dalam mempersiapkan skuad terbaik untuk menghadapi saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022.

Berdepan dengan penarikan diri beberapa pemain utama daripada skuad yang berjaya menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit Jun lepas, jurulatih berasal dari Korea Selatan itu berazam untuk melihat sudut positif dan enggan mengenang kekecewaan.

Pan Gon mengakui situasi terpaksa menguruskan skuad tanpa pemain utama itu adalah kali pertama berlaku dalam kerjaya kejurulatihannya.

“Ya, dalam karier saya ini kali pertama…saya perlu positif, saya boleh lihat lebih banyak pemain yang kita sudah cungkil bakat dan saya boleh melihat mereka secara bersemuka, bantu dan yakinkan mereka.

“Kami (juga) boleh meluaskan (panggilan untuk kem latihan berpusat kebangsaan) kepada lebih ramai pemain dan akan ada lebih banyak persaingan dalam pasukan kebangsaan. Jadi, saya mahu kekal positif,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan skuad Harimau Malaya di Wisma FAM di Kelana Jaya di sini semalam.

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sebelum ini mengumumkan senarai awal 41 pemain untuk menyertai latihan pusat di sini, bagaimanapun selepas perbincangan dan persetujuan antara badan induk bola sepak negara, Pan Gon dan kelab yang terlibat, 12 pemain terpaksa menarik diri atas pelbagai sebab termasuk hal peribadi, urusan keluarga dan kecederaan.

Antara yang menarik diri ialah tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) – Shahrul Mohd Saad, La’vere Lawrence Corbin-Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Matthew Davies dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Selepas penarikan diri 12 pemain, FAM memasukkan pertahanan kiri Selangor FC Muhammad Fazly Mazlan, namun dua pemain Kuala Lumpur (KL) City FC iaitu Muhammad Akram Mahinan dan Declan Lambert semalam memohon untuk dikecualikan atas sebab peribadi.

Berdasarkan Peraturan Status dan Perpindahan Pemain Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA); Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 menyatakan bahawa adalah tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau kejohanan akhir yang termasuk dalam kalendar perlawanan antarabangsa.

Piala AFF juga diadakan di luar jendela antarabangsa FIFA, justeru Pan Gon berkata beliau dan barisan kejurulatihannya akan melakukan yang terbaik untuk mempersiapkan pasukan yang diundi dalam Kumpulan B bersama-sama Myanmar, Laos, juara dua kali Vietnam dan juara empat kali Singapura.

“Lazim untuk mengatakan bahawa kami mahu menjadi juara tetapi kami akan mencuba yang terbaik untuk memberi keputusan terbaik dan akan berjuang untuk itu, cuba memberikan kebanggaan kepada peminat,” katanya.

Sebagai persediaan kepada Piala AFF, skuad Harimau Malaya akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Kemboja di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 9 Disember dan Maldives di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Disember.

Sementara itu, Pan Gon berkata, skuadnya turut merancang untuk mengadakan perlawanan ujian menentang skuad Bawah 23 tahun (B-23) dikenali sebagai Harimau Muda Jumaat ini, yang dikendalikan oleh E. Elavarasan, pembantunya dalam skuad senior. – Bernama