Bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob menerima sijil tamat ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Majlis Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Ke-38 di Gombak, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 04 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Usia tidak menghalang bekas Menteri Besar Pahang, Tan Sri Adnan Yaakob menamatkan pengajiannya di peringkat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Hadir di Majlis Konvokesyen Ke-38 universiti berkenaan hari ini, Adnan, 72, mendedahkan beliau tidak berhadapan dengan banyak cabaran ketika menyambung pelajarannya kali ini kerana minatnya terhadap bidang undang-undang.

“Saya dapati bidang ini mudah. Minat ini faktor besar, kalau seseorang itu minat main bola, main bola tiap malam tidak mengapa. Kena ada minat. Saya minat belajar,” katanya kepada pemberita.

Meskipun berbeza usia dengan penuntut lain dalam bidang berkenaan, namun beliau berkata tidak sukar untuknya menyesuaikan diri.

“Saya lebih suka belajar dikelilingi rakan-rakan sepengajian. Saya tidak boleh belajar kalau sendiri,” tambah beliau.

Terdahulu, Adnan berkata, meskipun mengambil masa enam tahun untuk menamatkan pengajiannya namun beliau berpuas hati dengan keputusan yang berjaya diraihnya.

Bekas Menteri Besar Pahang itu menambah, beliau telah menerima tawaran daripada beberapa firma guaman untuk dipertimbangkan.

Mahu terus menggali ilmu pengetahuan, Adnan memberitahu, beliau kini sedang mendalami ilmu fiqh dan berminat untuk belajar Bahasa Arab dalam masa yang terdekat.

Adnan menjawat jawatan Menteri Besar Pahang selama 19 tahun menggantikan Tun Mohd Khalil Yaakob pada 25 Mei 1999.

Anak kelahiran Bentong itu turut memiliki Ijazah Sarjana Muda Sastera dan Diploma Pendidikan dari Universiti Malaya (UM) pada 1975. – MalaysiaGazette