Tuan Ibrahim Tuan Man

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak sepatutnya menganggap semua projek melalui tender rundingan terus tidak teratur dan mempunyai unsur mengambil kesempatan.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, bukanlah satu kesalahan daripada segi perolehan untuk menyegerakan projek tebatan banjir.

Tambah beliau, meskipun rundingan terus namun prosedur kewangannya dikawal selia dengan teliti dan ketat.

“Sebagai Menteri Kewangan, saya yakin beliau (Anwar) mengetahui bahawa rundingan terus kepada projek tebatan banjir yang perlu disegerakan bukanlah satu kesalahan perolehan.

“Selain KASA (Kementerian Alam Sekitar dan Air), semua proses kawal selia prosedur kewangan mestilah diteliti secara ketat mengikut tatacara, prosedur dan garis panduan yang ditetapkan oleh Kementerian Kewangan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Alam Sekitar dan Air, Anwar sepatutnya tahu projek berkenaan perlu disegerakan bagi mengurangkan kesan bencana banjir yang lebih besar dan kerugian.

“Beliau tahu banyak projek kecemasan perlu disegerakan bagi mengurangkan bencana lebih besar dan kerugian lebih banyak. Ia mestilah terpaksa dilakukan melalui kaedah runding terus atau tander terpilih khususnya yang melibatkan bencana seperti banjir, empangan pecah, tanah runtuh dan lain.

“Namun, sekali lagi saya tegaskan ia mesti mematuhi prosedur kewangan yang ditetapkan,” tambahnya.

Anwar yang juga Menteri Kewangan hari ini mengarahkan supaya kelulusan mutakhir projek tebatan banjir berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan sebanyak RM15 bilion yang dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender diteliti semula.

Ujarnya, kelulusan peruntukan itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Kerajaan tak teruskan projek tebatan banjir RM7 bilion – PM