KUALA LUMPUR – Bank Negara Malaysia mengeluarkan duit syiling peringatan bersempena dengan sambutan ulang tahun Jabatan Sukarelawan
Malaysia (Rela) yang ke-50.

Duit syiling peringatan ini akan dikeluarkan dalam dua denominasi iaitu duit syiling peringatan emas nordic brilliant uncirculated (B.U) dan perak sterling Berwarna (pruf).

Siling perak itu diperbuat daripada perak sterling dengan ketulenan 92.5 seberat 31 gram.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM10 dan akan dijualpada harga RM275 sekeping dan sejumlah 1,000 keping telah ditempa.

Manakala siling emas mempunyai berat 8.5 gram serta diperbuat daripada tembaga dan beberapa logam lain.

Nilai muka duit syiling ini ialah RM1 dan akan dijual pada harga RM16.50 sekeping. Sejumlah 5,000 keping telah ditempa.

Duit syiling peringatan ini juga tersedia dalam bentuk Set 2 dalam 1 untuk jualan pada harga RM330.

Setiap set mengandungi sekeping duit syiling pruf perak sterling berwarna dan sekeping duit syiling pruf emas Nordic.

Sejumlah 1,000 set tersedia untuk pembelian.

Bagi memberikan peluang yang saksama kepada orang ramai untuk membeli duit syiling edisi terhad ini, setiap individu hanya boleh membeli satu Set 2 dalam 1, satu keping duit syiling perak sterling berwarna (pruf) dan tidak lebih daripada lima keping duit syiling emas Nordic (B.U.).

Orang ramai boleh membuat tempahan melalui duit.bnm.gov.my mulai 10 pagi Jumaat, 23 Disember 2022 hingga 11 malam Ahad, 8 Januari
2023.

Orang ramai dinasihatkan supaya membuat tempahan menerusi sistem dalam talian Bank Negara Malaysia sahaja dan bukannya melalui mana-mana pihak atau kemudahan tempahan lain yang tidak sah.

Semua tempahan akan dipertimbangkan dengan sewajarnya dan tiada keutamaan akan diberikan kepada tempahan berdasarkan tarikh dan masa tempahan dan sekiranya berlaku tempahan yang berlebihan, pengundian akan dilakukan. – MalaysiaGazette