Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (empat kiri) bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Wan Abdullah (empat kanan) bergambar dengan barisan pemain badminton negara pada majlis pengumuman Affin Bank sebagai rakan bank rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Menara Affin@TRX, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerima tajaan syarikat korporat Kumpulan Affin sebagai rakan bank rasmi selama tempoh dua tahun.

Perjanjian penajaan itu bagi mewujudkan perkongsian strategik untuk menyokong sukan negara Malaysia dan memupuk minat dalam badminton dalam kalangan remaja Malaysia.

Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berucap pada majlis pengumuman Affin Bank sebagai rakan bank rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Menara Affin@TRX, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2023.

Presiden BAM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata, sokongan daripada syarikat korporat seperti Affin penting untuk pertumbuhan berterusan program pembangunan dan pertandingan belia BAM.

“Tumpuan BAM dalam dua tahun akan datang adalah pada Sukan Olimpik Paris 2024, oleh itu, kami memerlukan banyak bantuan untuk mencapai impian memenangi pingat emas Olimpik pertama negara.

“Sukan badminton juga merupakan sukan popular dalam kalangan masyarakat. Kita lihat bagaimana pemain-pemain berjuang bermati-matian untuk menaikkan nama negara.

“Dengan adanya sokongan daripada Affin akan memudahkan lagi BAM untuk menghantar lebih ramai pemain dan saya amat berbesar hati untuk mempunyai satu lagi syarikat gergasi Malaysia yang menyertai BAM,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohammad Norza berkata, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Affin Bank kerana telah bersetuju menjalin kerjasama dengan BAM demi sukan badminton.

“BAM dan Affin telah membincangkan perjanjian ini untuk beberapa lama tetapi ia ditangguhkan kerana penularan pandemik Covid-19.

“Tahun 2023 dan akan mendatang, kami baru-baru ini memuktamadkan butiran dan berbesar hati untuk mengumumkan perkongsian situasi menang-menang dengan Affin,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank, Datuk Wan Razly Wan Abdullah berucap pada majlis pengumuman Affin Bank sebagai rakan bank rasmi Persatuan Badminton Malaysia (BAM) di Menara Affin@TRX, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 06 JANUARI 2023.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad, Datuk Wan Razly Abdullah berkata, pihaknya akan menyokong pelbagai inisiatif BAM termasuk menjadi penaja bersama program Elit Junior Affin 100 plus pada kejohanan di seluruh negeri.

“Affin teruja untuk menjadi sebahagian daripada perjalanan ini untuk menyokong badminton sebagai sukan yang diminati setiap rakyat Malaysia.

“Populariti badminton mencerminkan semangat aspirasi negara bagi mencapai kecemerlangan dalam apa jua perkara. Kami komited sepenuhnya menyokong rancangan kerajaan dan BAM untuk membawa sukan itu ke peringkat yang lebih tinggi,” ujarnya.

Menurut Wan Razly, pihaknya juga akan membantu  meningkatkan latihan persediaan pemain negara dalam pelbagai kejohanan badminton termasuk Sukan Olimpik Paris 2024 serta menyumbang keseluruhan program pembangunan BAM. – MalaysiaGazette