Pihak UTeM diwakili oleh Ts Dr Nurul Hanim Razak (Kiri) bagi pihak Fakulti Kejuruteraan Mekanikal bersama dengan seorang lagi wakil UTeM iaitu Pengarah Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi), Prof Madya Dr Musthafah Mohd Tahir (kanan) menerima piala kemenangan.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) berjaya menjuarai dua kategori utama dalam Anugerah Hijau Melaka (AHM) 2022 baru-baru ini.

Naib Canselor UTeM, Prof Ts Dr Massila Kamalrudin berkata, kejayaan itu membuktikan UTeM komited dalam mempraktikkan inisiatif teknologi hijau secara komprehensif dan berterusan.

Jelasnya,  UTeM telah menghantar dua penyertaan dan menjuarai dua kategori utama tersebut daripada empat kategori yang dipertandingkan iaitu Pembudayaan Hijau, Projek Hijau, Inovasi Hijau dan Program Komuniti Hijau.

Dua piala yang dimenangi oleh UTeM apabila menjuarai 2 kategori utama iaitu Pembudayaan Hijau dan Inovasi Hijau dalam Angerah Hijau Melaka 2022, baru-baru ini.

“Kemenangan UTeM menerusi Pusat Alam Sekitar Pintar (CENSEi) yang memenangi emas bagi Kategori Pembudayaan Hijau manakala satu lagi emas dimenangi Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) bagi Kategori Inovasi Hijau.

“Kejayaan ini telah meletakkan UTeM di hadapan dalam kalangan 38 penyertaan yang lain dan membawa pulang wang kemenangan berjumlah RM 5,000 setiap satu kategori selain trofi dan sijil penghargaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Massila berkata, sebelum ini UTeM telah berjaya memenangi Anugerah Tenaga Kebangsaan dan Anugerah Tenaga peringkat ASEAN pada tahun 2021.

“Justeru kejayaan terbaharu ini telah meneruskan kecemerlangan UTeM sebagai peneraju utama di Melaka, Malaysia malah Asia Tenggara dalam bidang kecekapan tenaga dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Tambah beliau, kejayaan yang dikecapi UTeM menjadi penyuntik semangat dan motivasi berterusan kepada seluruh warga UTeM untuk terus melestarikan amalan hijau di Kampus UTeM sekaligus memberikan impak langsung buat Melaka dan Malaysia.

AHM anjuran Perbadanan Teknologi Hijau Melaka (PTHM) merupakan pengiktirafan dan penghargaan kepada agensi, institusi, kerajaan dan swasta serta komuniti yang melaksanakan inisiatif teknologi hijau di negeri ini. – MalaysiaGazette