KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganjurkan semua pihak supaya bersama-sama reset (set semula) parti bukan digerakkan individu tertentu sahaja.
“Tidak apa (untuk reset). Kita santuni perbezaan pendapat terutama dalam kalangan mereka yang berminat untuk bersama-sama dengan kepimpinan untuk melakukan reset.
“Reset ini boleh kita lakukan bersama dan tidak penting bagi kita untuk melayan perbezaan yang akhirnya mewujudkan kabilah yang berbeza,” katanya kepada media selepas selesai membuat lawatan di booth Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai penularan poster Reset UMNO yang dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU2022) di Pusat Dagangan Dunia hari ini.
Poster tersebut menamakan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani sebagai calon Presiden UMNO diikuti Khairy Jamaluddin sebagai timbalannya.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO Pahang pula diletakkan sebagai calon Naib Presiden UMNO sebaris dengan bekas Menteri Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.
Selain itu, Ahmad Zahid juga akan memperincikan hala tuju parti tunjang Melayu itu dalam Ucapan Dasar Presiden UMNO esok.
Jelas beliau, dasar itu akan turut memuatkan gerak kerja UMNO bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Esok dalam ucapan dasar, saya akan gariskan hala tuju baharu UMNO yang menjadi tulang belakang kepada BN untuk menghadapi PRN dan PRU16 dan gerakan massa yang lain untuk mendapat semula dokongan akar umbi dan mereka yang tidak berparti supaya dapat bersama memahami UMNO dan BN,” katanya lagi. – MalaysiaGazette