KUALA LUMPUR – Pengarah filem kontroversi, Syamsul Yusof tenang walaupun berdepan tuntutan cerai difailkan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, semalam.
Malah Syamsul yang juga pengarah filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu turut memuat naik foto kedua-dua permata hatinya, Syaikhul Islam yang berusia enam tahun dan Sumyyah, empat tahun, di InstaStory Instragram miliknya.
Dia mempamerkan emoji hati diiringi nota ringkas berbunyi ‘always’ atau selama-lamanya di gambar anaknya itu.
Pada masa sama, Syamsul turut berkongsi entri video di Instagram yang memaparkan dirinya berada di lokasi penggambaran filem The Original Gangster.
Dalam video itu, selain kelibat Syamsul, turut kelihatan Datuk Rosyam Nor dan Beto Kusyairy yang seperti dalam keadaan bersedia untuk melakonkan babak dalam filem yang sedang rancak menjalani penggambaran itu.
Semalam, Puteri Sarah yang ditemani dua adiknya iaitu Puteri Sofia Nadira dan Megat Imran Ikram serta peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader, memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, di sini.
Kemelut rumah tangga dihadapi Syamsul dan isterinya, sejak empat tahun lalu semakin hangat diperkatakan selepas pengarah kontroversi itu membuat pengakuan sudah berkahwin dua dengan Ira Kazar, 27, di Thailand.
Ibarat retak menanti belah, pendedahan Syamsul itu membuatkan konflik yang berlaku terus berlarutan hingga akhirnya Puteri Sarah nekad untuk memfailkan perceraian.
Syamsul dan Puteri Sarah mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan dua cahaya mata, Syaikhul dan Sumayyah. – MalaysiaGazette