Ahmad Shabery Cheek

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melahirkan simpati dengan nasib kakitangan yang bekerja dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) apabila akaun parti itu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu menambah, sudah tentu Presiden Bersatu terpaksa menanggung beban yang dihadapi oleh semua kakitangannya.

”Harap bersabar dan tabah menghadapi ujian,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang berkata, Bersatu akan menulis surat kepada SPRM bagi memohon pembatalan perintah pembekuan akaun banknya.

Beliau yang menafikan menerima sebarang wang daripada dana pakej rangsangan ekonomi bernilai RM92.5 bilion seperti didakwa, Muhyiddin berkata, pembekuan itu akan menjejaskan operasi mereka.

Artikel berkaitan:MPT Bersatu sahkan SPRM beku akaun

Bersatu tulis surat kepada SPRM minta batalkan pembekuan akaun

Wang dalam akaun Bersatu bukan dari dana Pakej Rangsangan Ekonomi – Muhyiddin

Beku akaun: Bersatu beri kerjasama – Hamzah

“Bila dah beku akaun, kami sebagai pertubuhan politik yang penting dan besar ini tak ada duit untuk bayar gaji pentadbiran.

“Bukan sahaja untuk sebulan. Sekarang ini mereka kata beku tiga bulan, pun susah,” kata Muhyiddin dalam sidang media baru-baru ini.

Namun, menurut Ahmad Shabery, apa yang dilalui Bersatu ini juga sama nasib yang menimpa Presiden UMNO ketika pemimpin Bersatu menerajui kerajaan 22 bulan dulu.

”Ramai kakitangan Pejabat UMNO diberhentikan. Sehingga sekarang ramai yang hanya menerima separuh dari gaji biasa mereka,” ujarnya. – MalaysiaGazette