Shamsul Iskandar Md. Akin

KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa lebih cakna dengan perkembangan semasa mengenai Kerajaan Perpaduan.

Setiausaha Politik Kanan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, bekas Ahli Parlimen Gombak itu perlu banyak membaca khususnya berita tempatan supaya tidak kabur dengan situasi semasa negara.

“Jelas perubahan demi perubahan drastik dilaksanakan Kerajaan Perpaduan, namun mungkin disebabkan pandangan semakin kabur atas faktor usia maka beliau gagal untuk melihat.

“Contoh terbaik adalah bantuan khas RM10 juta dari Bernas untuk tahun 2022 dan RM50 juta pada tahun 2023.

“Ini tidak pernah berlaku dalam pentadbiran sebelum ini tetapi direalisasi hasil inisiatif yang digerakkan sendiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berunding dengan Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary selepas mengangkat sumpah jawatan hujung November tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Shamsul Iskandar merujuk kenyataan Azmin awal pagi tadi yang berkata, Kerajaan Perpaduan cuba menutup kelemahan mereka mentadbir negara dengan memberi tekanan kepada Perikatan Nasional (PN).

Malah Azmin berkata, sudah tiga bulan kerajaan dibentuk tetapi tidak ada sebarang langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan hari ini untuk membantu rakyat.

Shamsul Iskandar turut menyenaraikan Sumbangan Tunai Rahmah fasa 1 bernilai RM1.67 bilion yang diawalkan ke bulan Januari berbanding Mac memberi manfaat kepada 8.7 juta rakyat dan inisiatif Menu Rahmah yang disokong lebih 15,000 peniaga dari pelbagai persatuan memberi kelegaan kepada rakyat yang bekerja mendapat sumber nutrisi lengkap hanya pada kos RM5.

“Kalau hendak disenaraikan semua inisiatif Kerajaan Perpaduan maka kenyataan media ini akan bertukar menjadi artikel, jadi rajin-rajinlah membaca supaya tidak ketinggalan mengetahui isu semasa.

“Saya juga yakin rakyat hari ini lebih matang dalam menilai gelagat pembangkang yang gagal untuk melaksana tugas semak dan imbang sebaliknya hanya menyerang pentadbiran kerajaan perpaduan membabi buta tanpa asas,” ujar beliau.

Justeru itu, Shamsul Iskandar menasihatkan Azmin agar menumpukan tugas beliau sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa memandangkan Pilihan Raya Negeri (PRN) sudah semakin hampir.

“Ada baik saudara Azmin Ali tumpukan tugas sebagai Ahli Dewan Negeri Selangor memandangkan Pilihan  Raya Negeri semakin hampir. Takut yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast