KUALA LUMPUR – Carsome, platform e-dagang kereta bersepadu yang terbesar di Asia Tenggara meneroka pasaran servis kereta selepas jualan dengan pelancaran Pusat Servis Carsome.
Syarikat tersebut telah memulakan operasi di dua buah Pusat Servis Carsome di lokasi strategik masing-masing iaitu Petaling Jaya dan Ampang.
Para pemilik kereta boleh membuat temujanji untuk pemeriksaan kali pertama melalui laman web Carsome.
Selain memenuhi keperluan pembeli kereta terpakai dari syarikat, Pusat Servis Carsome juga boleh memberi perkhidmatan kepada sesiapa sahaja yang mencari kemudahan penyelenggaraan kereta tanpa kebimbangan, dan juga kepada mereka yang mencari rakan penyelenggaraan kereta yang dipercayai selepas tamat tempoh jaminan utama kenderaan mereka.
Menurut data Carsome, 80% daripada keretanya telah melepasi tempoh jaminan sah lima tahun mereka.
Keadaan ini membayangkan kemungkinan yang lebih tinggi untuk pemilik kereta perlu menjalankan servis kereta mereka di bengkel biasa berbanding pusat servis yang dibenarkan.
Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carsome, Eric Cheng berkata, pusat servisnya menawarkan perkhidmatan selepas jualan yang boleh dipercayai untuk penyelenggaraan kereta yang mudah dan tanpa kebimbangan.
”Kami komited untuk mengurangkan ketidakpastian yang terpaksa dilalui oleh para pemilik kereta untuk mendapatkan penyedia perkhidmatan penyelenggaraan kereta yang boleh dipercayai, berpatutan dan boleh diharapkan.
”Dari perspektif perniagaan, Pusat Servis Carsome menandakan permulaan era yang menarik untuk menambah baik amalan sebelum ini dalam pasaran servis selepas jualan.
”Selain daripada memanfaatkan data dan teknologi untuk mendigitalkan perjalanan pelanggan, kami memperkenalkan pengalaman dan phygital – memperkukuh pengalaman digital dengan elemen fizikal yang diperlukan untuk berinovasi dan menyampaikan penyelesaian menyeluruh untuk pelanggan kami di seluruh rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette