Foto Instagram Tunku Ismail.

KUALA LUMPUR – Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah-olah memberi bayangan bakal memegang jawatan lebih besar berbanding sebagai seorang pengurus Harimau Malaya.

Tunku Mahkota Johor (TMJ) yang juga bekas Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menerusi satu hantaran yang dimuat naik di Instagram story miliknya berkata: “Bukan seorang pengurus… Lebih daripada seorang pengurus,” tulisnya ringkas.

Selain kenyataan itu, TMJ turut memuat naik gambarnya bersama Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin.

Sebelum ini, Hamidin menjelaskan bahawa TMJ tidak berminat untuk memegang jawatan sebagai pengurus pasukan Harimau Malaya walaupun terdapat pihak menganggap beliau layak untuk memikul tugas itu.

Sebaliknya, Hamidin berkata, TMJ berhasrat untuk membantu Harimau Malaya termasuk dalam menyumbang peralatan latihan terutama dalam persiapan skuad negara menghadapi Piala Asia 2023, awal tahun depan. – MalaysiaGazette