GEORGE TOWN – “Sudah banyak kali kami nasihat ibu supaya berhenti kerja dan kejadian ini mungkin menjadi asbab untuk dia berehat”.
Demikian luah Taufek Marzuki, 36, anak kepada Jami @Jumi Shariff, yang kehilangan kedua-dua belah kakinya selepas digilis jentera forklift di Kompleks MASKargo di Bayan Lepas di sini, pada Isnin lalu.
Menurut Taufek, ibu hanya bekerja untuk mengisi masa lapang memandangkan dia merupakan individu yang ringan tulang.
Jelasnya, ibunya akan bekerja selang sehari bagi tempoh dua atau tiga jam dan pulang dengan dijemput ayah sekitar jam 12 tengah hari.
Ayah, serta kami tidak beradik sudah puas melarang ibu daripada bekerja pada usia sebegini.
“Malah, gaji ibu juga tidak diusik susulan masing-masing memberi nafkah selain ayah mempunyai pencen bulan,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Taufek menerima Kunjungan Ziarah Prihatin oleh Pengurus Pejabat Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Georgetown Mohd Asri Mohd Rasid dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong Mohd Tuah Ismail di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Mengulas mengenai keadaan Jami @ Jumi, Taufek berkata, ibunya berada dalam keadaan stabil namun masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.
“Ibu ditidurkan sejak kaki kanan dipotong dan doktor beritahu bahawa jantungnya juga dalam keadaan baik.
“Namun doktor masih mengawasi keadaan kaki kiri ibu yang mana difahamkan bahawa mereka cuba selamatkan (kaki kiri) namun masih tidak pasti keadaannya,” katanya.
Sementara itu, Mohd Asri berkata, kunjungan berkenaan bagi mengenal pasti status kelayakan pekerja di bawah akta serta bantuan yang boleh diberikan kepada mangsa.
Katanya, bagi faedah kepada pekerja bermajikan mengikut Akta 4, atau skim perkhidmatan kepada yang bekerja sendiri (Skim Keselamatan Pekerjaan Sendiri), pencarum akan diberi perlindungan atau menerima manfaat sekiranya berlaku bencana atau kemalangan berkaitan dengan pekerjaannya.
“Bagi kes seumpamanya, pekerja yang mencarum boleh menerima manfaat perubatan, alat pemulihan dan lain-lain lagi justeru, bagi orang awam yang bekerja sendiri disaran mencarum dengan skim perlindungan yang ditawarkan.
“Perkeso juga kini mempunyai skim baru yang memberi perlindungan khusus kepada surirumah di bawah Akta 838, Skim Keselamatan Sosial Surirumah (SKSSR) sejak 1 Disember tahun lalu,” kata Mohd Asri.
ARTIKEL BERKAITAN
MalaysiaGazette pada Isnin lalu melaporkan, seorang wanita warga emas parah selepas terlibat dalam satu kemalangan ngeri melibatkan jentera forklift di Kompleks MASKargo Bayan Lepas di sini.
Kejadian jam 12 tengah hari itu, menyebabkan kedua-dua kaki mangsa, Jami @ Jumi Shariff, 75, hancur. – MalaysiaGazette