KUALA LUMPUR – Selepas mendiamkan diri, isteri kepada penyanyi ND Lala, Fauziah Sarman menarik perhatian netizen apabila memaparkan sekeping foto keluarganya di media sosialnya.
Tindakan itu mengundang tanda tanya ramai berhubung status rumah tangga ibu bapa kepada penyanyi popular, Shila Amzah itu yang menjadi bualan sejak kebelakangan ini.
“Satu hari nanti kita hanya menjadi sekeping gambar dan kenangan,” tulisnya atau mesra dengan panggilan Mama Azie.
Sementara itu, Fauziah turut melahirkan rasa syukur atas nikmat dikurniakan Allah selain meletakkan sepenuh harapan soal kehidupan kepada Yang Maha Esa.
“Terima kasih Allah di atas segala nikmat dan kurniaMu sampai hari ini. Jadikanlah setiap langkah kami selalu dalam kebaikan dan jadikanlah sisa-sisa umur kami penuh dengan barakah dan lindungilah kami semua dengan kasih sayangMu. Amin Amin Ya Rabbal A’lamin,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan terdapat seorang penyanyi dan pelakon lelaki popular era 80-an telah bernikah lagi satu secara rahsia sehingga segelintir netizen mendakwa ND Lala adalah individu terbabit.
Bagaimanapun, adik Shila iaitu Syada Amzah menafikan dakwaan tersebut dengan mengatakan ibu bapanya masih tinggal sebumbung dan hampir setiap hari keluar bersama. – MalaysiaGazette