Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diiringi pegawai penjara ketika hadir ke mahkamah bagi sambung perbicaraan kes pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 03 FEBRUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi mendesak supaya keadilan untuk bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak ditangguhkan.

Menurut beliau, sudah 21 hari sudah berlalu selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa laporan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd. Nazlan Mohd. Ghazali telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

“Apakah adil, keadilan untuk Najib tertangguh? Apakah adil tiada tindakan diambil sebelum keputusan semakan kehakiman dalam kes SRC International Najib diputuskan?

“Rakyat ingin tahu jika benar siasatan terhadap Nazlan membuktikan memang wujud ‘konflik kepentingan’ dan ‘pelanggaran etika’ yang membolehkan Hakim Nazlan didakwa,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dalam sidang Dewan Rakyat pada 23 Februari lalu, Azalina turut memaklumkan, laporan tersebut adalah berkaitan pelanggaran peraturan di bawah Kod Etika Hakim 2009 namun tiada maklumat lanjut berhubung perkara itu dinyatakan oleh SPRM dalam surat kepadanya.

Mohd. Puad turut menggesa agar hasil siasatan SPRM itu didedahkan kepada orang ramai.

“Tahniah Azalina kerana beritahu Parlimen laporan itu telah diserahkan kepada Ketua Hakim Negara dan Peguam Negara,” jelasnya.

Beliau juga berpandangan tulisan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad yang bertajuk ‘Mahkamah Membuat Undang-Undang Sendiri’ adalah amat tajam.

Mohd. Puad berkata, tulisan itu menjadi hujah penting bahawa tiada sebab bagi SPRM tidak boleh menyiasat seorang hakim. – MalaysiaGazette