KUALA LUMPUR – Pengendali skuad kebangsaan, Kim Pan-gon telah memanggil 27 pemain untuk menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru bermula Sabtu ini dengan mengenepikan pemain sayap, Safawi Rasid.

Sebaliknya, dua pemain bola sepak naturalisasi baharu negara, Endrick Dos Santos dan Paulo Josue berjaya menerima panggilan skuad Harimau Malaya buat kali pertama.

“27 pemain ini telah dipanggil untuk menghadapi dua aksi antarabangsa bertemu Turkmenistan dan Hong Kong, masing-masing pada 23 dan 28 Mac 2023 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

“Pan-gon telah mengekalkan seramai sembilan daripada 23 pemain yang telah membawa skuad Harimau Malaya layak ke separuh akhir Piala AFF 2022 pada Januari lepas,” katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) di sini.

Sementara itu, antara pemain baharu dipanggil kali ini ialah penjaga gol, Damien Lim dan Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman; Fayadh Zulkifli Amin, Daniel Ting, Paulo Josue, Endrick Dos Santos, Feroz Baharudin dan Nooa Laine.

Selain itu, ada 13 pemain telah diletakkan dalam senarai bersedia sekiranya terdapat perubahan dalam pasukan sepanjang kem latihan pusat nanti,” kata kenyataan tersebut.

Pada bulan lalu, kem skuad Harimau Malaya menerima khabar gembira selepas dua pemain kelahiran Brazil, Endrick yang mewakili skuad Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Josue (KL City) sah mendapatkan kerakyatan Malaysia.

Situasi tersebut membolehkan kedua-dua tonggak tersebut didaftarkan sebagai pemain tempatan bersama kelab masing-masing.

Endrick berjaya mempamerkan prestasi cemerlang apabila meledak tiga gol bersama skuad Harimau Selatan manakala Josue pula menyumbangkan dua jaringan buat The City Boys. – MalaysiaGazette