Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli (dua kanan), Pengerusi Maybank, Tan Sri Dato' Sri Zamzamzairani Mohd Isa (kiri) dan Ketua Pegawai Perniagaan LPGA Asia, Sean Pun (kanan) bergambar dengan trofi Maybank Championship di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 MAC 2023.

KUALA LUMPUR – Maybank melangkah ke era baharu mengangkat sukan golf wanita dengan kejohanan tanpa potongan yang menampilkan 10 pemain ASEAN dan Malaysia.

Kali ini, Maybank antara kumpulan perbankan utama di Asia akan menganjurkan semula pertandingan golf Kejohanan Maybank 2023 selepas ia tertangguh sejak tiga tahun lepas.

Kejohanan kali ini dijangka mencabar pemain apabila bakal menggunakan lapangan Barat (west course) buat pertama kali sejak penganjuran kejohanan profesional itu di negara ini pada Oktober 2010 dengan 50 pemain profesional golf serata dunia.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, pertandingan yang mendapat izin Ladies Profesional Golf Association (LPGA) itu berlangsung antara 26 hingga 29 Oktober ini di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC).

Katanya, selepas 14 tahun membawakan pemain golf terkemuka peringkat kebangsaan dan ASEAN dalam pertandingan yang dianjur bersama oleh Jelajah Eropah dan Jelajah Asia, Maybank dengan bangganya mengorak langkah menjalin kerjasama dengan LPGA kali ini.

“Kerjasama ini bertujuan mewujudkan pertandingan yang lebih pelbagai, mudah diakses serta inklusif bagi sukan golf wanita yang seterusnya akan menyuntik semangat kepada pemain  generasi akan datang selain menggalakkan kecemerlangan sukan.

“Dari tahun ke tahun, Kejohanan Maybank telah berjaya mencapai matlamat utamanya mengangkat ASEAN ke persada antarabangsa dalam sukan dan sekarang, kita nampak cara untuk terus berkembang ialah dengan memperjuangkan keterangkuman sukan golf di rantau ini,” katanya pada majlis pelancaran di KLGCC, di Bukit Kiara hari ini.

Majlis yang sama turut dihadiri dan dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Datuk Hannah Yeoh.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bersama Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli (kanan) melihat trofi Maybank Championship di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 28 MAC 2023.

Tambah beliau, bersama LPGA, pihaknya akan menemukan rakan yang komited untuk memastikan padang golf menjadi lapangan yang sama rata untuk semua.

Kejohanan Maybank 2023 di Padang Barat KLGCC kali ini akan menampilkan 68 pemain golf profesional bertaraf dunia dengan menjangkakan kehadiran ratu golf nombor satu dunia dari Thailand A.Thitikul, J.Y Ko dari Korea Selatan, L.Ko dari Lydia Ko dari New Zealand dan anak bekas pemain tenis dunia iaitu N. Korda dengan 10 peserta tambahan khusus untuk pemain Malaysia dan ASEAN.

Ujar beliau, format pertandingan membolehkan setiap pemain meraih bahagian daripada hadiah tunai US$3 juta dolar yang disediakan sepanjang empat hari ini.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya LPGA Mollie Marcoux Samaan berkata, nilai bersama LPGA dan Maybank untuk mengangkat dan memperkasakan wanita menjadikan kerjasama ini mustahak bagi kami di rantau ini.

Katanya, LPGA teruja untuk membawa semula golf profesional wanita ke Malaysia buat julung kalinya dalam masa enam tahun.

“Persetujuan untuk tiga campur dua  dijangka akan memberi banyak manfaat kepada pemain, masyarakat, dan negara serta pada masa sama, membuka peluang untuk menonjolkan Malaysia dan ASEAN kepada khalayak dunia melalui rangkaian LPGA, yang bersiaran di lebih 170 pasaran dan 560 juta isi rumah.

“Kejohanan Maybank 2023 akan mengetengahkan kebanyakan daripada pemain golf wanita terbaik dunia dalam pelbagai acara kemasyarakatan yang berlangsung pada sepanjang minggu,” tegasnya.

Dalam pada itu, Hannah semasa perasmian memuji kerjasama Maybank dengan LPGA untuk menyokong sukan wanita dan menyediakan peluang kepada para pemain untuk bersaing di peringkat tertinggi.

“Bersama, kita boleh merapatkan jurang gender antara ahli sukan di negara kita dan memberi tumpuan kepada beberapa bakat ulung dalam sukan,” ujarnya.

Antaranya termasuk klinik golf, bengkel, dan sesi bertukar pengetahuan, yang diatur untuk menggalakkan sukan golf melalui perkongsian kisah-kisah yang mengilhamkan tentang semangat, kesabaran dan kecekalan.

Tema pertandingan Retake the Green mencerminkan keyakinan Maybank kepada pemain golf wanita untuk menonjolkan diri mereka dan nilai yang mereka pegang.

Cogan kata itu merangkumi kepercayaan pihak bank bahawa sukan golf wanita berpotensi untuk membawa perubahan positif di dalam dan di luar padang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast