Sekumpulan mangsa hadir untuk memohon membuat sesiatan terhadap syarikat pelancongan umrah dan haji, Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya. Foto MUHD NA’IM, 04 APRIL 2023.

PUTRAJAYA – Lebih kurang 200 jemaah yang sepatutnya menunaikan umrah sempena Ramadan  mendakwa ditipu oleh sebuah syarikat pelancongan umrah dan haji.

Salah seorang mangsa, Rusman Abu Samah, 55, berkata, jumlah anggaran kerugian semua jemaah adalah lebih kurang RM2 juta.

Beliau mendakwa, tindakan Emraz Travel & Tours Sdn Bhd (Emraz) memaklumkan pembatalan pakej umrah yang telah dibayar penuh oleh jemaah amat mengecewakan.

Apatah lagi, katanya, alasan yang diberikan tidak munasabah.

“Sepatutnya kalau gagal, kena beritahu jemaah seawal-awal yang boleh bukan sudah masuk bulan Ramadan baru nak beritahu. Sebab kami nak iktikaf 10 hari Ramadan di sana. Janganlah beri alasan Raudah penuh, itu alasan tidak konkrit.

“Hari Ahad baru-baru ini diadakan Zoom Meeting dan panggil semua jemaah beritahu terpaksa batalkan umrah. Jangan beri harapan palsu dan tipu kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kata Rusman, beliau telah membayar lebih kurang RM42, 000 kepada syarikat berkenaan untuknya dan isteri menunaikan umrah di bulan Ramadan.

Tambah beliau, alasan yang diberikan oleh syarikat berkenaan tentang pembatalan pakej adalah tidak munasabah.

“Alasan kata tidak ada tiket bagi saya itu satu penipuan sebab syarikat lain boleh? Bagi saya ini semua alasan yang diberikan tidak boleh diterima langsung,” tambahnya.

Sehubungan itu, Rusman mewakili jemaah yang menjadi mangsa menuntut syarikat berkenaan mengembalikan semula wang jemaah yang sepatutnya menunaikan umrah dalam bulan ini.

“Kami nak hak-hak kami. Tuntutan kami, kami nak Emraz bayar segera kepada kami semua kembali duit kami. Saya mewakili semua jemaah Emraz yang terkesan bukan sikit-sikit kami bayar penuh,” ujarnya.

Terdahulu, Rusman yang menetap di Hulu Langat berkata, pembatalan jemaah umrah menerusi syarikat berkenaan dimaklumkan menerusi Zoom Meeting oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zulkarnain Endut  pada Ahad yang lalu.

Sebagai rekod, semalam, seorang peniaga membuat laporan polis terhadap syarikat pelancongan umrah dan haji tersebut selepas  tidak mendapat maklum balas mengenai tempahan umrah dibuatnya daripada syarikat itu.

Laporan dibuat Minah Basir, 45, dari Puchong di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya selepas mendakwa pihak syarikat berdiam diri meskipun dia sudah membuat bayaran RM38,000 untuk tempahan mengerjakan umrah.

Selain itu,  Lembaga Tabung Haji (TH) dilaporkan telah menggantung lesen Pengelola Jemaah Haji (PJH) Emraz Travel & Tours Sdn Bhd berkuat kuasa serta-merta sebagai langkah awal melindungi kebajikan bakal jemaah haji.- MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rata rata mereka yg mendakwa diri adalah ahli agama, makin ramai pulak yg menunggangnya. Kini 2023, tahun yg penuh dgn penipu termasuk syarikat yg menunggang agama. Ingat bukan makan daging BABI saja yg HARAM.

Comments are closed.