klinik kesihatan
Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan memperluaskan skop projek rintis intervensi pemanjangan tempoh operasi ke lima lagi klinik kesihatan.

Menterinya, Dr. Zaliha Mustafa berkata, klinik kesihatan yang telah dipilih untuk tujuan tersebut terletak di daerah Gombak, Hulu Langat, Ipoh, Johor Bharu dan Kuala Lumpur.

“Di samping pelanjutan waktu operasi di klinik kesihatan, tujuh lagi tindakan penyelesaian jangka pendek dan jangka sederhana bagi mengurangkan kesesakan pesakit di hospital kerajaan sedang dilaksanakan.

“Antaranya adalah pelaksanaan rintis Skim Perubatan MADANI, semakan semula akta, pekeliling dan garis panduan berkaitan, pelaksanaan pengurusan LEAN, perluasan perkhidmatan penjagaan kesihatan virtual, dan strategi komunikasi melalui pemahaman sikap sedang berjalan dengan kerjasama kementerian dan agensi kerajaan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Projek tersebut sebelum telah dilaksanakan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) dan Klinik Kesihatan Bandar Botanik (KKBB) di Klang.

Tindakan segera cadangan intervensi adalah dengan memindahkan operasi zon hijau (bukan kecemasan) Jabatan Kecemasan HTAR ke KKBB di luar waktu operasi bermula pada 25 Mac lalu dengan KKBB melanjutkan waktu operasi sehingga pukul 9.30 malam setiap hari.

Dr. Zaliha memberitahu, sehingga 9 April lalu, purata kedatangan pesakit zon hijau ke Jabatan Kecemasan dan Trauma, HTAR telah mencatatkan penurunan kedatangan pesakit sebanyak 54 peratus.

Menurut beliau, trend penurunan itu berlaku lebih ketara pada hari Sabtu dan Ahad dan selari dengan peningkatan kedatangan pesakit ke KKBB selepas intervensi pelanjutan tempoh operasi ini dilaksanakan.

“KKM amat menggalakkan pesakit yang tidak mengalami sakit kritikal untuk mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan.

“Pendekatan ini dapat membantu doktor dan anggota kesihatan dalam memberikan rawatan segera kepada pesakit kritikal di Jabatan Kecemasan hospital kerajaan,” jelasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast