Calon Perikatan Nasional P.081 Jerantut, Khairil Nizam Khirudin berucap pada Ceramah Umum dan Pelancaran Manifesto Perikatan Nasional Pahang sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Jerantut, Pahang. Foto HAZROL ZAINAL, 08 NOVEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar merehatkan Menteri Sumber Manusia selepas V. Sivakumar terpalit dengan rasuah berhubung isu pekerja asing.

Ketua Penerangan Pas Pusat, Ir Ts Khairil Nizam Khairudin berkata, tindakan itu wajar dilakukan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) kerana menunjukkan tauladan yang baik serta mengotakan janji apabila orang mereka sendiri disiasat.

“Antara tatakelola baik yang diamalkan dalam dunia korporat dan industri adalah dengan memberikan garden leave bagi merehatkan pegawai yang berkenaan bagi melindungi kepentingan perniagaan dan juga reputasi baik sesebuah organisasi.

“Rakyat hari ini makin matang dan dengan jelas melihat sikap double standard kerajaan terutamanya pemimpin PH,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing semakin banyak melibatkan Sivakumar.

“Anwar perlu rehatkan Sivakumar selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden PH terhadap kes Tan Sri Azam Baki pada 2022.

“Tindakan merehatkan ini penting untuk memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa,” katanya lagi.

Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut turut mengimbas situasi hampir sama iaitu pada Januari 2022 di mana Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Azam selesai.

“Walaupun kedua-dua mereka bukanlah suspek, namun disebabkan kedudukan mereka dalam agensi berkaitan SPRM menyebabkan terdapat konflik kepentingan sehingga PH mendakwa mereka enggan mengambil tindakan terhadap Azam,” katanya.

“Pada 14 April 1999, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar, setelah disabitkan atas empat kesalahan berhubung penyalahgunaan kuasa campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

“Rakyat tidak mahu lagi melihat kes sebegini berulang di dalam kerajaan,” katanya lagi.

Minggu lalu, Anwar menyifatkan tiada keperluan bagi Sivakumar direhatkan sebagai Menteri Sumber Manusia.

Ini kerana siasatan masih berjalan ke atas ahli Parlimen DAP itu berhubung dakwaan menerima wang bernilai jutaan ringgit menerusi orang tengah sebagai jaminan meneruskan kontrak-kontrak kerajaan terhadap individu tertentu.

Menurut Anwar, ia masih peringkat siasatan dan belum ada pertuduhan dan ia perlu dibezakan antara kedua-dua perkara ini.

Sivakumar dipanggil membantu siasatan susulan siasatan SPRM terhadap seorang pegawai tugas-tugas khas dan penahanan setiausaha sulitnya serta dakwaan beliau telah menerima wang secara tunai oleh seorang ahli perniagaan yang juga ditahan SPRM bersama dua pegawai kanannya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Lebai.. abahpun juga nasihatkan utk berehat jugak. Baru lebih nampak hebat nasihat lebai tu.

Comments are closed.