Dua lelaki maut dalam nahas tiga kenderaan Gambar Polis Daerah Lipis

KUANTAN – Dua lelaki maut dalam nahas membabitkan tiga buah kenderaan di Kilometer (KM) 18, Jalan Lipis – Benta, Lipis petang tadi.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada pukul 2.26 petang.

“Kemalangan melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Wish, lori dan kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux.

“Siasatan awal mendapati, MPV tersebut dipandu lelaki berusia 47 tahun dalam perjalanan ke Kuala Lumpur dari arah Lipis bersama empat orang anak dan seorang anak saudaranya,”katanya dalam kenyataanm hari ini.

Bagaimanapun, katanya, setiba di lokasi, MPV berkenaan dipercayai terbabas dan masuk ke laluan bertentangan lalu merempuh sebuah lori secara berhadapan.

Tambah Azli, susulan pertembungan itu, sebuah pacuan empat roda tidak sempat mengelak dan melanggar lori tersebut dari belakang.

“Akibat kemalangan terbabit, pemandu MPV dikenali sebagai Mohd Zubairi Abdullah, 47, dan pemandu lori, Chang Kai Meng, 58, maut ditempat kejadian,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, anak saudara mangsa yang merupakan penumpang MPV cedera parah, kelindan lori hanya mengalami kecederaan ringan manakala pemandu pacuan empat roda dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kesemua mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan lanjut dan mayat mangsa terkorban diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette