Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Seorang pengarah wanita sebuah agensi pekerjaan didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, melindungi pembantu rumah warga asing secara tidak sah dan tinggal lebih masa di rumahnya.

Reetha Ramudoo, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret S. Mageswary.

Mengikut fakta pertuduhan, beliau didakwa telah membenarkan dua orang wanita imigran haram masuk atau tinggal di dalam rumahnya iaitu Intan Mauliza seorang warga Indonesia dan Muthumalai Rengasami seorang warga India menduduki rumah adalah bertanggungjawab atau mempunyai kawalan ke atas rumah itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen 1969/63 (Akta 155) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 55E(2) akta yang sama.

Reetha didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira jam 11 malam 28 April lalu di KA3-19-10, Kuchai Avenue, Jalan Kuchai Maju 13, Kuchai Entrepreneurs Park, di sini.

Jika disabitkan kesalahan beliau boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM30,000 atau penjara maksimum 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram yang dijumpai di premis.

Dalam persabitan yang kedua dan seterusnya beliau boleh didenda minimum RM10,000 dan maksimum RM60,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya bagi setiap imigran haram dijumpai di premis.

Reetha yang mengangguk faham terhadap pertuduhan terhadapnya mohon dibicarakan.

Siasatan kes dilakukan Pegawai Penyiasat Jenayah, Inspektor Yoges Kumar Vardaraju dari Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbar.

Peguambela yang mewakili Reetha, K. Kanagavalli merayu mahkamah menawarkan wang jaminan yang munasabah tertuduh memandangkan anak guamnya mengurus perniagaan sendiri dan tidak mempunyai pendapatan tetap.

“Dia juga mempunyai seorang anak lelaki berusia tiga tahun dan sedang berada dalam proses penceraian,” katanya

Mageswary selepas mendengar hujah pembelaan membenarkan wang jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin dikenakan ke atas Reetha.

Mahkamah juga menetapkan 22 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula serahan dokumen kes tersebut.

Sementara itu, Intan Mauliza dan Muthumalai Rengasami dituduh secara berasingan di dua Mahkamah Majistret di bawah Seksyen 15(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa tanpa dokumen sah.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dihadapi mereka.

Tiada jaminan dibenarkan terhadap mereka yang diwakili K. Kanagavalli dan sebutan semula kes ditetapkan pada 8 Jun ini. – MalaysiaGazette