KUALA LUMPUR – Pas boleh bekerjasama dengan semua pihak, tetapi tidak teragak-agak membatalkannya jika ada antara mereka melanggar nas, prinsip dan strategi yang diperjuangkan parti itu.
Pada masa sama, Pas juga bersikap terbuka dan bersempadan dalam menghadapi sebarang perubahan dari sudut pemikiran serta sikap manusia yang boleh berubah-ubah.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam tulisan terbaharu Minda Presiden hari ini menjelaskan, parti itu mengadakan persefahaman dan kerjasama dengan pelbagai pihak berbeza ideologi serta akidah agama dalam keadaan dipantau dan dirujuk kepada Majlis Syura Ulamak dan Jawatankuasa Lajnah Politik.
Kata beliau, Pas juga dalam keadaan terkawal dan tidak pernah dapat dipermainkan semua pihak, dalam keadaan tetap berjaya dari sudut kerjasama serta hubungan tidak lemah apabila dibatalkan.
“Pendekatan kita tidak boleh disamakan dengan rakan parti Islam di negara Arab, utara Afrika, Turki, Asia Tengah, benua India dan lain-lain, walaupun mempunyai persamaan dasar, konsep dan hala tujunya.
“Ini kerana berbeza padang dan lapangan masyarakatnya yang wajib difahami oleh mereka bersama Pas atau yang memberi perhatian kepada Pas.
“Saya menegaskan perkara ini kepada rakan luar negara yang datang dan ditemui atau dalam negara sendiri yang cuba melakukan campur tangan dalam perkara tidak difahami mereka terhadap beberapa tindakan kita,” tulis beliau.
Menurut Abdul Hadi, Pas mengadakan kerjasama dengan pihak lain adalah atas titik persamaan kemanusiaan dan keadilan kepada semua tanpa melanggar sempadan prinsip Islam serta konsep yang menjadi kewajipan parti.
Namun, katanya, apabila ada pihak melanggar dasar atau memaksa Pas keluar daripada landasan agama termasuk menegakkan negara Islam, parti itu tidak teragak-agak membatalkan kerjasama dan keluar dari pakatan politik tersebut.
“Sikap Pas tidak jumud tanpa perubahan apabila berlaku perubahan sikap dan keadaannya. Maka, ada parti yang berulang kali berhubung dan memutuskan hubungan dengan kita.
“Pas lebih mengutamakan sikap berkebajikan termasuk mereka yang pernah bermusuh, sedang bermusuh atau paling bermusuh kerana pendekatan itu menjadi salah satu cara untuk memperkenalkan Islam.
“Parti ini juga melaksanakan kewajipannya dengan penuh kesabaran tanpa menyimpan dendam apabila berada dalam kerajaan pusat dan ketika memerintah kerajaan negeri yang dapat disaksikan oleh ramai kalangan,” katanya.
Sebaliknya, ujar Ahli Parlimen Marang itu, Pas pula menjadi sasaran pihak yang menipu, menyekat dan menentangnya secara terbuka serta bersembunyi.
Namun, tegas beliau, parti itu tidak sekali-kali membalas dendam apabila berkuasa,” katanya. – MalaysiaGazette