Mohamed Shahrin Ismail

KUALA LUMPUR – Putra Selangor kesal dan kecewa dengan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penarikbalikan rayuan penggunaan kalimah Allah oleh seorang penganut Kristian, Jill Ireland.

Kenyataan itu menunjukkan Perdana Menteri seolah-olah memandang remeh isu berkenaan dengan mendakwa pengunaan kalimah Allah oleh penganut bukan Islam di Sarawak dibolehkan sekali gus menyokong tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Ketua penerangannya, Mohamed Shahrin Ismail mengingatkan Anwar peristiwa 16 Mei 1986 apabila memo Pejabat Timbalan Perdana Menteri dikeluarkan yang ditandatangani Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghafar Baba.

Kata beliau, ketika itu Anwar dan James diputuskan untuk mengkaji istilah atau perkataan Islam dalam al Quran yang tidak boleh diguna pakai.

“Keputusannya, sebanyak 12 perkataan dibenarkan dan empat perkataan dilarang sama sekali dengan bersyarat di luar kulit buku tersebut perlu tertulis “Untuk Agama Kristian”.

“Mahkamah Persekutuan kemudian menolak permohonan Gereja Roman Katolik untuk menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan majalah mingguan, yang menyaksikan kes itu melibatkan The Herald pada tahun 2014.

“Sekiranya KDN dan kerajaan hendak mempertahankan hak umat Islam, dua kes yang telah berjaya itu boleh menjadi kayu ukur untuk kerajaan tidak menarik rayuan berkenaan di Mahkamah Rayuan walaupun kes Jill Ireland ini mempunyai perbezaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kata Mohamed Shahrin, kerajaan harus meneruskan kes itu di Mahkamah Rayuan dan sekiranya gagal masih boleh lagi meneruskannya di Mahkamah Persekutuan.

Serentak itu, katanya, Putra Selangor telah menyampaikan mesej dan hasrat untuk ke Istana Negeri hari ini atas tujuan memohon baginda sultan memberi desakan kepada kerajaan Persekutuan.

Ini kerana, kata beliau, Sultan Johor dan Sultan Kedah telah menitahkan kes itu diteruskan ke Mahkamah Rayuan walaupun kerajaan dan KDN telah menarik balik rayuan tersebut.

“Walaupun mesyuarat Kabinet memutuskan kerajaan akan mengekalkan dasar sedia ada berhubung penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam, tetapi wujud kekeliruan dengan kenyataannya ‘hanya untuk penganut Kristian di Sarawak sahaja’.

“Kenyataan ini masih menimbulkan rasa tidak puas hati banyak pihak terutama NGO Islam yang membuat bantahan keras kepada Kerajaan Perpaduan.

“Anwar telah bertindak secara unilateral tanpa merujuk atau berunding dengan Majlis Raja-Raja dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) terlebih dahulu walaupun Sarawak tidak terikat dengan keputusan negeri lain,” tegasnya.

Beliau mengesa semua pihak bersatu dalam memelihara kepentingan isu penggunaan kalimah Allah kerana kesan mudarat ke atas generasi muda dan akan datang.

“Sebagai umat Islam, kita jangan beri ruang atau peluang kepada mana-mana pihak yang cuba untuk membawa kerosakan ke atas agama Islam,” ujarnya. – MalaysiaGazette