Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mohd Na'im Mokhtar menyerahkan sumbangan Aidilfitri Rahmah Madani MAIWP Bersama Insan Istimewa ketika di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 20 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 300 insan istimewa dan asnaf sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur diraikan dalam Majlis Jalinan Aidilfitri Rahmah Madani Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Dalam majlis itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar menyampaikan dua sumbangan kepada mereka menerusi Sumbangan Aidilfitri Rahmah Madani MAIWP dan Sumbangan Bantuan Tunai RM200.

Menurut beliau, majlis dan sumbangan itu sebagai tanda keprihatinan MAIWP menyantuni asnaf dan yang memerlukan termasuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Inilah kemeriahan Hari Raya Aidilfitri di negara kita yang kita sambut selama sebulan sehingga ke hari terakhir Syawal pada hari ini, hari ke-29 Syawal.

“Walaupun Ramadan telah hampir sebulan kita tinggalkan namun iktibar dan pengajaran daripada bulan mulia tersebut hendaklah kekal menjadi ingatan dan amalan kita.

“Hari ini, saya dapat bersama dengan kira-kira 300 insan istimewa dari Persatuan OKU Sentral, Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Jalinan Aidilfitri Rahmah Madani MAIWP bersama insan istimewa di sebuah hotel di sini hari ini.

Beliau amat berbangga dapat bersama meraikan raya bersama insan istimewa anugerah ciptaan Allah yang mempunyai kelebihan tersendiri.

“Saya lihat kegembiraan jelas terpancar pada wajah insan istimewa dan saya pasti nama MAIWP sudah mula diingati oleh mereka.

“MAIWP selaku agensi pengurusan Islam pasti akan memberikan persepsi dan pandangan yang baik terhadap agama Islam itu sendiri yang cintakan kepada kedamaian dan keharmonian.

“Inilah yang kerajaan sedang usahakan dan terapkan menerusi Pelan Tranformasi Hal Ehwal Agama Menuju Malaysia Madani (Al Falah) bagi melaksanakan agenda Membangun Malaysia Madani seperti dihasratkan Perdana Menteri.

“Tahniah kepada MAIWP yang telah berjaya merealisasikan hasrat murni ini,” katanya.

Dr. Mohd Na’im turut menekankan MAIWP sebagai agensi mengurus zakat adalah satu institusi amat penting bagi ummah dalam misi Islam untuk menangani isu kemiskinan.

Kini, kata beliau, MAIWP dapat menonjolkan Islam itu bukan sahaja membantu golongan orang kurang kemampuan bahkan meningkatkan sosio-ekonomi umat Islam di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

“Dengan cara ini, dunia akan dapat melihat betapa cantik dan indahnya Islam dan inilah perkara yang ingin kita sampaikan menerusi gagasan Al Falah,” katanya.

Kata beliau, sepanjang Ramadan dan Aidilfitri, MAIWP telah menyalurkan keseluruhan perbelanjaan sebanyak RM77 juta menerusi MAIWP Insani Rahmah Ramadan dan Syawal.

“Saya difahamkan MAIWP akan melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu asnaf di Wilayah Persekutuan termasuk Sumbangan Cenderahati Aidilfitri kepada insan istimewa yang hadir ini.

“Diharapkan sumbangan ini dapat memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada mereka di bulan Syawal ini,” katanya.

Beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada pembayar zakat di Wilayah Persekutuan yang menunaikan zakat kepada MAIWP dan Pusat Pungutan Zakat MAIWP.

Ujarnya, tanpa komitmen mereka, sudah tentu program bantuan seperti itu tidak dapat dilaksanakan secara optimum, maksimum dan menyeluruh. – MalaysiaGazette