KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menyumbang peruntukan khas sebanyak RM500,000 kepada Akademi Pengajian Melayu (APM).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, peruntukan tersebut diberikan untuk membangun, memperkasa dan melestarikan akademi berkenaan.
Katanya lagi, peruntukan itu juga demi memastikan penubuhan semula Kerusi Za’ba.
“Saya ingin menyarankan dua perkara penting. Pertama untuk satu kertas khas disediakan oleh Universiti Malaya tentang ikhtiar membangun, memperkasa dan melestarikan Akademi Pengajian Melayu. Kertas ini mesti bertujuan untuk merekayasa Akademi Pengajian Melayu, mengangkat martabatnya sebagai pusat ilmu terpenting untuk pengajian Melayu global.
“Sediakan kertas cadangan yang berkaitan dengan kadar segera. Biar saya ketuk pintu hati beberapa konglomerat Melayu untuk memberikan infak kekayaan mereka kepada pengayaan khazanah intelektual bangsa Melayu,” katanya ketika Program Syarahan Za’ba di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Melayu hari ini.
Terdahulu, Mohamed Khaled berpendirian bahawa APM perlu menjalani penstrukturan semula dengan membawa kepakaran ekonomi, pendidikan dan banyak lagi agar pengajiannya menjadi inklusif dan komprehensif.
Katanya, kupasan dan latihan bakat akan menjadikan bidang Pengajian Melayu berkembang maju bukan hanya di dalam negara bahkan di mata dunia.
“Saya menyeru kita merombak struktur sedia ada. Membawa masuk pelbagai cendekiawan terbaik bangsa. Menyemak kembali kurikulum dan melatih bakat terbaik untuk menjadikan disiplin pengajian ini, bidang yang penting kepada dan strategik kepada negara.
“Kita mesti menjadikan Pengajian Melayu setara dengan bidang pengajian Middle Eastern atau Chinese Studies. Pengajian Melayu wajar menjadi arena segala kepakaran tentang pelbagai pencapaian bangsa Melayu, pemikiran dunia Melayu dan krisis bangsa Melayu digembeleng dan dibahaskan,” jelasnya.
Selain itu, Mohamed Khaled berkata, APM perlu menjadi agenda utama KPT secara radikal dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) kelak.
Melalui langkah-langkah berkenaan, beliau berharap APM akan menjadi pusat rujukan global untuk dunia Melayu dalam tempoh satu dekad lagi.
“Akademi ini mesti bersedia menggali segala seni akal dan sistem nilai orang Melayu dengan melangkah keluar dari sistem pengajian yang terbatas pada manuskrip atau khazanah persuratan semata-mata.
“Di manakah lagi tempat paling sesuai untuk memahami kemiskinan bangsa Melayu jika bukan di persada yang sememangnya memahami sikap dan pemikiran bangsa Melayu?” soal Mohamed Khaled.-MalaysiaGazette