Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said (tengah) hadir pada sidang mengenai kes Malaysia-Sulu di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL, 30 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Malaysia mengesyaki pemberi dana bagi membolehkan waris Kesultanan Sulu membuat tuntutan terhadap negara datangnya dari Amerika Syarikat (AS).

Menteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagaimanapun berkata bukti yang diperoleh masih belum lengkap.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pihak yang berselidung disebalik “Therium Capital Management Limited” yang membiayai proses perundangan waris Kesultanan Sulu terhadap kerajaan Malaysia

“Kabinet telah diberi maklum. Kita masih nak siasat. Menteri Luar bertanggungjawab dalam perkara ini. Bukti yang kita dapat itu ialah tidak menyeluruh. Kita hendak betul-betul mengesahkan.

“Banyak catatan daripada AS. Kita perhatikan dalam website kita banyak (yang melayari) dari AS. Kita tidak tahu mereka seronok hendak tengok negara Asia terlibat.

“Ada link banyak fokus daripada Amerika. Kita masih dalam siasatan dan kajian,” katanya dalam sidang media hari ini.

Sebelum itu Azalina ditanya sama ada pembiaya tuntutan Kesultanan Sulu datangnya dari Arab atau Eropah.

Sebelum ini, media melaporkan Malaysia akan mengambil langkah untuk menyaman pihak yang memberikan dana kepada waris Kesultanan Sulu dalam tuntutan berjumlah RM65 bilion (AS$14.9 bilion) terhadap Malaysia.

Azalina berkata, Malaysia telah mengambil beberapa langkah bagi mendedahkan pihak yang menjadi pembiaya kepada tuntutan tersebut.

“Saya sudah arahkan Jabatan Peguam Negara untuk berkomunikasi dengan syarikat Ligitation Funders Therium.

“Mengarahkan peguam kita di UK untuk menulis kepada mereka secara rasmi ke atas keputusan ini untuk memberi pendedahan terhadap perjanjian Therium sebagai pembiaya dengan lapan orang ini.

“Kami telah memberi arahan baru kalau kita lihat punca perhubungan itu perhubungan dalam gerakan penipuan kami akan buat tindakan di bidang kuasa ofensif sama ada di AS atau UK,” katanya.

Azalina berkata, pewaris Kesultanan Sulu tidak mempunyai keupayaan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Malaysia kerana ia memerlukan kos yang tinggi.

Malaysia sendiri misalnya telah mengeluarkan RM31 juta bagi kos perundangan dalam tempoh empat tahun seperti yang dimaklumkan kepada Dewan Rakyat pada Februari lalu.

Azalina menegaskan, Malaysia akan melawan habis-habisan terhadap apa sahaja tindakan yang bakal diambil oleh peguam yang mewakili tuntutan Sulu.

Terbaharu Mahkamah Rayuan di Hague, Belanda, memutuskan pada Selasa (27 Jun) keputusan yang memihak kepada Malaysia dalam tuntutan pampasan oleh lapan individu yang mengaku sebagai waris kesultanan Sulu.

Keputusan mahkamah itu berjaya menggagalkan percubaan pihak yang menuntut untuk mendapatkan pampasan berjumlah AS$14.94 bilion (RM68.8 bilion) terhadap Malaysia sejak 2019.

Kumpulan itu turut gagal dalam tuntutan yang sama di mahkamah Perancis.

Tahun lalu, waris terakhir Filipina dari Kesultanan Sulu diberi award USD14.9 bilion oleh Mahkamah Timbang Tara Paris, dalam pertikaian berpanjangan dengan Malaysia berkait perjanjian tanah pada era kolonial.

Sejak itu, kumpulan itu memohon penyitaan aset kerajaan Malaysia di Perancis, Luxembourg, dan Belanda, dalam usaha menguatkuasakan award berkenaan.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Tuntutan Sulu satu jenis peperangan bentuk baharu – Azalina