Dedak cendawan yang dihasilkan oleh UPM.

KUALA LUMPUR – Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkenalkan makanan dedak cendawan sebagai alternatif menggantikan jagung kepada haiwan ternakan menerusi penanaman cendawan tiram di bawah infrastrukrur solar Photovoltaic (PV).

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Tuan Chan Foong Hin berkata, usaha inovasi berterusan seperti dedak cendawan yang dikenali sebagai MyShroomFeed ini akan membantu menyelesaikan keresahan para penternak di Malaysia serta mengurangkan kebergantungan kita kepada sumber import.

“Pihak kementerian sangat mengharapkan penglibatan berterusan pihak UPM sebagai sebuah universiti penyelidikan pertanian negara dalam mencakna solusi bagi pelbagai isu
terkini pertanian antaranya keperluan alternatif bagi bekalan dedak ternakan, keterjaminan bekanan telur dan daging, serta ketandusan tanah pertanian,” katanya selepas merasmikan Integrated Agrivoltaic Trail di UPM hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berharap penghasilan MyShroomFeed yang sedang diusahakan oleh penyelidik UPM akan membantu mengurangkan kebergantungan import jagung bijirin serta bahan utama protein disamping mewujudkan peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.

Ketua projek, Ir. Dr. Mohammad Effendy Ya’acob berkata, hampas akar cendawan tiram dan bongkahnya adalah sebagai alternatif menggantikan dedak haiwan ternakan iaitu ayam, itik, arnab dan kambing memandangkan nilai nutrisi terutama Crude Protein (CP) yang tinggi dan tempoh tuaian cendawan yang singkat.

“Tempoh tuaian cendawan tiram ialah tujuh hari selepas bongkah matang serta kaedah penanaman lebih mudah berbanding jagung bijirin yang memerlukan sekitar 120 hari
tempoh penanaman,” katanya ketika di temui di Ladang Solar UPM, di sini hari ini.

Selain itu, penyelidik UPM membangunkan ‘Agrivoltaic Mushroom Tunnel’ yang merupakan inovasi pertama di dunia bagi penanaman cendawan tiram berskala besar di bawah
infrastruktur solar.

Potensi penanaman cendawan tiram di Ladang Solar Puchong bersaiz dua hektar adalah sekitar 600,000 unit bongkah dengan hasil tuaian mencecah 60 tan yang diagihkan kepada 10 zon penanaman.

Syarikat Pemula Universiti Putra Malaysia (UPM), Putra Science Park (PSP), UPM, AgroPV Integrated SB dan Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia (MSA) telah
menjalankan kerjasama strategik dalam membangunkan teknologi sistem solar Integrated Agrivoltaic Trail sebagai platform dan Proof of Concept (PoC) iaitu integrasi pertanian dalam
sistem solar Photovoltaic (PV). – MalaysiaGazette