Dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas di Jalan Pulau Gadong, Cheng, Melaka pagi tadi.

MELAKA – Dua penunggang motosikal maut selepas dirempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas di Jalan Pulau Gadong di sini hari ini.

Difahamkan pemandu SUV berkenaan dalam laporan polis mendakwa matanya silau punca dia gagal mengawal kenderaan terbabit sebelum merempuh mangsa.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, dalam kejadian kira-kira 8.20 pagi itu, mangsa, Iman Nur Azrin Noriman, 18, dan Nurul Rahimah Abdul Samad, 32, meninggal dunia di tempat kejadian.

Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca apabila SUV jenis Hyundai Tucson dipandu lelaki berusia 36 tahun dari arah Klebang menuju ke Lebuh Alor Gajah- Melaka Tengah- Jasin (AMJ) terbabas sebelum memasuki laluan bertentangan.

“SUV itu kemudian merempuh kedua-dua mangsa masing-masing menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dan Honda EX5 menyebabkan kedua-dua mereka maut di tempat kejadian.

“Rempuhan turut menyebabkan mangsa wanita tercampak sejauh kira-kira 10 meter memasuki kawasan sawah di bahu jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambahnya, jenazah kedua-dua mangsa kemudian di bawa ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat bagi mengetahui punca kejadian.

“Setakat ini tiada saksi tampil memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast