MELAKA – Perbezaan agama dan kaum bukan penghalang buat jurubahasa mahkamah, Lee Se Pin, 40, untuk melibatkan diri dalam aktiviti sukarelawan anjuran badan dakwah di negara ini.
Malah, penglibatannya dalam gerakan dakwah Islamiah sejak 10 tahun lalu adalah semata-mata untuk memperkukuhkan lagi perpaduan rakyat yang berbeza warna kulit dan agama.
Antara penglibatan See Pin termasuklah menjadi pemandu pelancong masjid Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC), sukarelawan Hari Hari Terbuka Masjid 2023 dan sukarelawan dakwah jalanan.
Ia sekali gus melayakkan jurubahasa di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh itu dipilih sebagai Tokoh Bukan Islam pada sambutan Maal Hijrah 2023 peringkat negeri di Masjid Al Azim, Bukit Palah, di sini hari ini.
Beliau ketika ditemui selepas majlis penyampaian Anugerah Ibnu Uraiqith yang disampaikan Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam, berkata, terharu dengan pengiktirafan diberikan.
“Hasrat saya sebenarnya melalui penglibatan dalam pelbagai kegiatan badan bukan kerajaan (NGO) dalam kegiatan kemasyarakatan ini adalah untuk merapatkan jurang antara kaum.
“Usaha berterusan ini juga diharap dapat membina satu bangsa Malaysia yang harmoni,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.
Majlis turut menyaksikan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Othman Muhamad diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat negeri melalui Anugerah Abu Bakar As-Siddiq melayakkannya menerima wang tunai RM10,000 dan sijil penghargaan.
Sementara itu, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, seramai 13 individu dipilih sebagai tokoh melalui kategori masing-masing pada sambutan kali ini. – MalaysiaGazette.